Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hanya PM boleh tangguh cukai, bukan Nazri'
Diterbitkan:  Jun 28, 2017 12:46 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Datuk Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah menempelak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengumumkan cukai pelancongan akan ditangguhkan hingga 1 Ogos, kerana kerajaan belum bersedia melaksanakannya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak itu berkata hanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan, berhak untuk menangguhkan tarikh perlaksanaan cukai berkenaan.

Abdul Karim dipetik oleh akhbar Borneo Post hari ini sebagai berkata, Akta Cukai Pelancongan menetapkan bahawa hanya menteri kewangan yang berkuasa untuk mengecualikan atau menangguhkan pelaksanaan cukai hotel itu.

"Hak untuk menangguhkan tarikh (pelaksanaan cukai pelancongan) adalah di tangan perdana menteri atas kedudukannya sebagai menteri kewangan dan bukan menteri pelancongan yang sebelum ini mengumumkan bahwa penguatkuasaan cukai pelancongan adalah pada 1 Julai dan kini tiba-tiba menangguhkannya kepada 1 Ogos.

"Kita mesti ingat bahawa bukan kementerian kewangan atau perdana menteri yang memaklumkan tarikh 1 Julai itu," katanya.

Semalam, Nazri dilaporkan oleh akhbar Sin Chew Daily mengenai kemungkinan penangguhan cukai pelancongan itu. Beliau turut dilaporkan berkata rakyat yang menginap di hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah dikecualikan daripada membayar cukai itu.

Ketika dihubungi hari ini, Nazri bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu itu.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pelaksanaan cukai pelancongan yang akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai depan.

Pada 11 Jun lalu, Nazri menimbulkan rasa kurang senang bagi pemimpin politik di Sarawak dan Sabah apabila menggelar Abdul Karim sebagai menteri 'setahun jagung'.

Ini berikutan gesaan Abdul Karim agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan itu.

Mohamed Nazri bagaimanapun berkata, Abdul Karim tidak memahami perkara itu.

Lihat Komen
ADS