Paling Popular
Terkini

SATIRA l Sebaik masuk ke kamar presidential suite taraf cakerawala ini, terasa sungguh nikmat. Tenang. Mendamaikan jiwa, minda, emosi dan keimanan.

Apalagi kamar ini pernah dihuni raja Arab yang bau bacang dengan penderma RM2.6 bilion. Aura beliau masih terasa dan terbau minyak attar semerbak mengisi ruang mewah.

Bersyukurlah dengan limpah kurnian rezeki. Hanya airmata sebak kesyukuran mengiringi Syawal terindah ini.

Panorama dari kamar merentas pantai keemasan yang berkilauan bagaikan permata berlian Merinda Kerr dan permaisuri MO1. Berlatarbelakangkan laut menghijau, membiru, kejernihan bagai embun suci yang menitis dipermukaan Aidilfitri lalu.

Bagaikan permata berlian berharga ratusan juta Merinda Kerr dan permaisuri MO1. Bergemerlapan. Seakan Pink Diamond mewarnai ruang.

Terlalu indah. Kudus. Tulus. Mulus. Syahdu.

Jauh lebih indah dari Teluk Cempedak, Tanjung Rhu, Juara Tioman, Pulau Sapi, Cherating, apalagi Port Dickson.

(Ah! Romantis tiba-tiba bila terkenang Port Dickson. Apakan daya, masa lalu takkan kembali. hancur musnahlah semuanya.)

Terasa berada di syurga yang sureal. Tidak kisahlah berapa kos semalam atau lima malam. Itu bukan urusan saya untuk tahu seperti mana saya tidak peduli berapa juta yang masuk dalam akaun peribadi.

Banyak perkara lain yang wajib difikirkan.

Kerana itu berliburan di Nusa Duwa adalah satu eskapisme dari segala fitnah, konspirasi Yahudi dan pembangkang, serta campurtangan DOJ yang mahu menjatuhkan kerajaan terbaik abad ini.

Bersantai bersama keluarga tersayang. Kalau boleh satu Nusa Duwa atau satu Pulau Bali ditempah, bukan sekadar 41 presidential suites.

Liburan kali ini turut diiringi doa ratusan ribu yang berhari raya pertama di Sri MO1. Ratusan ribu yang ikhlas menyokong perjuangan istiqamah wasatiyyah dalam mempersadakan, mempersadokan agama.

Para lebai malang juga memberi sokongan moral, memanjangkan doa untuk amirul mukminin berliburan. Mereka sudah insaf dan mahu kembali kepangkal jalan, jalan lurus ke Putrajaya, bukan tunggang-langgang seperti mabuk di kelab malam.

Itulah kejayaan transformasi mengikut mazhab Cash Is King yang sanadnya mengikut jalur galur keturunan bani Tamim.

Kerana itu tiada dosanya untuk berliburan di pulau bersejarah itu. Sama membawa jutaan ringgit untuk membantu pelancongan pulau syurga duniawi.

Lima hari tidak lama.

Main golf beratus lubang, urut-mengurut, makan, tidur, dot dot dot dan berkaraoke pun tidak memadai.

(Tidak begitu seronok berkaraoke kerana permaisuri MO1 haramkan lagu Madah Berhelah, Putus Terpaksa, Anggapanmu, Tiada Jodoh Antara Kita. Lagu-lagu favourite yang penuh nostalgia dan menggamit kerinduan satu masa terindah di Port Dickson)

Inilah kebahagian. Inilah keharmonian. Inilah islamik. Inilah maqasid shariah. Inilah wasatiyyah.

Bersyukurlah, negara masih aman. BR1M masih diberi. GST masih tak naik.

OK. Permaisuri MO1 sudah memanggil-manggil manja. Sudah bersiap dengan bikini batik designer label bertatah permata. Katanya mahu berenang-renang seperti badak dalam air.

Kita jumpa lagi di Perth!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Satira ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS