Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Walak ahli PAS kerana Allah, rasul
Diterbitkan:  Jul 6, 2017 2:05 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS menegaskan, walak dan penghormatan yang diberikan anggota parti itu kepada pimpinan serta ulama mereka bukan bersifat membuta tuli.

Kata Mokhtar Senik anggota PAS juga tidak wajar dilabel sebagai pentaasub yang tidak dapat berfikir dengan betul.

Justeru beliau menjelaskan maksud sebenar taasub mengikut tafsirannya.

"Sesungguhnya taasub bodoh itu ialah apabila kamu mentaati dan mematuhi seseorang tanpa apa-apa kaitan dirinya dan jalannya dengan Allah dan rasul.

"Malang lagi jika jalan itu adalah jalan batil yang dimurkai Allah dan rasul," katanya hari ini.

Konsep walak atau kepatuhan kepada pemimpin menjadi satu daripada ciri PAS dan ada pihak menjadikan amalan itu sebagai bahan untuk mengkritik parti terbabit.

Kadang-kadang digelar "walaun", anggota PAS dikecam kerana sentiasa mengikut apa saja arahan kepimpinan mereka, terutama daripada presiden.

Istilah walak juga akhir-akhir ini turut digunakan beberapa pemimpin Umno, termasuk Datuk Seri Najib Razak.

Mokhtar terpilih sebagai seorang daripada 25 AJK Pusat PAS baru-baru ini dan dikenali sebagai ulama mahir dalam ilmu fikah.

Jangan ingat akan berhenti

Selain pernah belajar di Pakistan, beliau juga mengikuti pengajian agama di Makkah. Mokhtar adalah pengasas kepada Kompleks Pendidikan an-Nur di Kuantan.

Menurut Mokhtar anggota PAS mempertahankan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukanlah atas kapasiti peribadinya, malah disebabkan hubungan beliau dengan parti.

"Kita pertahankan Tuan Guru Hj Abdul Hadi bukan kerana batang tubuhnya Hj Abd Hadi. Tapi kita pertahankan beliau dan memberikan walak kepada beliau kerana kaitan beliau dengan jemaah PAS ini.

"Kita mempertahankan PAS dan memberikan walak kepada jemaah ini kerana kaitannya dengan Islam. Kita mempertahankan Islam dan memberikan walak sepenuhnya kepada Islam kerana kaitanya dengan al-Quran dan sunnah.

"Kita pertahankan al-Quran dan sunnah kerana kaitannya dengan Allah dan rasul," katanya.

Justeru, kata Mokhtar, tiada kemuliaan bagi seorang hamba selain mempertahankan sesuatu "yang ada kaitan dengan Allah dan rasul".

Mokhtar kemudian mengingatkan musuh PAS supaya menyedari ketaatan diberi secara semberono.

"Dengan itu jangan kamu ingat kami akan berhenti di sini sambil duduk mengeluh lantaran tidak lagi bermaya menghadapi serangan kamu dari segenap penjuru.

"Kami tidak pernah patah semangat. Bahkan Allah menambahkan keimanan kami setiap kali kamu menyerang kami," katanya.

Mokhtar juga menjelaskan anggota PAS tidak pernah takut kepada kekalahan., apa lagi untuk mengejar harta atau kesenangan di dunia.

"Bahkan kami tidak pernah takut untuk mati demi perjuangan ini," katanya.

Lihat Komen
ADS