Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umat Islam perlu faham batasan pelihara anjing - Jamil Khir
Diterbitkan:  Jul 6, 2017 3:54 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Umat Islam di negara ini digesa agar memahami tatacara dan batasan memelihara anjing termasuk menyentuhnya bagi mengelak kekeliruan akidah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata anjing dikategori sebagai najis mughallazah atau najis berat yang memerlukan cara pembersihan tertentu mengikut Mazhab Syafie.

“Ia perlu dibasuh dengan tanah dan air bersih. Jadi saya fikir sebelum kita menyentuh binatang mughallazah ini, kita perlu memahami etika dan peraturan sebagaimana perhubungan dan juga penyucian kepada binatang tersebut,” katanya kepada pemberita.

Beliau dan isteri Datin Seri Fatmawati Saidin serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kawasan Parlimen Jerai di Guar Chempedak dekat Yan hari ini.

Jamil Khir yang juga anggota Parlimen Jerai diminta mengulas mengenai tindakan seorang wanita Islam yang dikenali sebagai Nurhanizah Abdul Rahman yang memuat naik gambar videonya di Facebook pada Sabtu lepas dengan menceritakan mengenai anjingnya Bubu.

Jamil Khir berkata sekalipun dibolehkan memelihara anjing untuk tujuan seperti pemburuan, mengawal keselamatan dan menjaga rumah, namun ia masih tertakluk kepada peraturan perhubungan antara manusia Islam dan binatang itu.

Mengenai ibadat haji tahun ini, beliau berkata persiapan akhir untuk 30,200 jemaah menunaikannya berjalan lancar dan kesemua para jemaah telah diberi arahan oleh pihak Lembaga Tabung Haji (TH).

“Sabtu ini akan ada Kursus Haji Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan yang saya akan merasmikannya untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada jemaah haji. Semuanya telah kita persiapkan termasuk soal penerbangan,” katanya. 

Jemaah haji Malaysia akan berlepas ke tanah suci dengan penerbangan pertama pada 24 Julai ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS