Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN pohon pandangan Agong
Diterbitkan:  Jul 8, 2017 11:17 PM
Dikemaskini: 3:49 PM

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau akan mengadakan perbincangan segera dengan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk merayu Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja membuat ketetapan berikutan perlanjutan perkhidmatan dua hakim kanan negara ini.

Katanya, pelantikan semula Tan Sri Md Raus Sharif untuk tempoh tiga tahun, dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin (dua tahun) teramat kontroversi.

Tempoh perkhidmatan mereka masing-masing sepatutnya berakhir pada 4 Ogos dan 28 September ini.

Menurut presiden PKR itu isu berkenaan turut dianggap menyalahi perlembagaan oleh dua bekas hakim serta Badan Peguam Malaysia.

"Saya juga akan memasukkan usul membatalkan perlantikan-perlantikan ini dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu dihalang daripada terus merosakkan kebebasan badan kehakiman negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelantikan Md Raus (gambar) dan Zulkefli sebagai hakim tambahan di negara ini.

Dengan pelantikan itu Md Raus akan terus berkhidmat sebagai ketua hakim negara manakala Zukelfi menjadi presiden Mahkamah Rayuan.

Bekas hakim dan Badan Peguam Malaysia berkata lanjutan itu bercanggah dengan ketetapan perlembagaan yang menyatakan seseorang hakim wajib bersara selepas berusia 66 tahun enam bulan.

Tak tahu setuju atau tidak

Dr Wan Azizah berkata pengumuman PMO bahawa perlantikan berkenaan dibuat atas nasihat Tun Arifin Zakaria yang bersara daripada jawatannya sebagai ketua hakim negara April lalu perlu dipersoal.

"Amatlah jelas bahawa nasihat berkenaan (jika benar ia diberikan) tidak terpakai setelah ketua hakim negara yang dahulu tamat perkhidmatan.

"Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mengesahkan pandangan Majlis Peguam dan memberi amaran bahawa melanjutkan perkhidmatan seorang ketua hakim negara yang bakal tamat tempoh perkhidmatannya dengan menggunakan kuasa lantikan "hakim tambahan" bakal menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

"Peguam tersohor dan bekas hakim Datuk Seri Gopal Sri Ram dan ramai lagi pakar perundangan bersetuju dengan pandangan beliau.

"Tindakan ini akan mewujudkan duluan (precedent) di mana hakim-hakim akan membuat keputusan untuk memuaskan cabang eksekutif demi mendapatkan habuan iaitu lanjutan tempoh perkhidmatan dengan cara yang meragukan ini," katanya.

Dr Wan Azizah yang juga anggota parlimen Permatang Pauh memberitahu pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan wajib dibuat - mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan - oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

"Umum tidak mengetahui sama ada Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan langkah perlantikan yang terlalu berkontroversi ini," katanya.

Lihat Komen
ADS