Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Rosmah terbuka hati terima permohonan maaf Nurul Izzah’
Diterbitkan:  Apr 21, 2018 1:04 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang tersinggung dengan Nurul Izzah Anwar kerana mendakwanya memanggil dirinya dengan nama terbuka hati menerima permohonan maaf anggota parlimen Lembah Pantai itu.

“Saya telah memaklumkan kepada Datin Seri Rosmah perihal permohonan maaf Nurul Izzah kepada beliau.

“Alhamdulillah, Rosmah dengan terbuka hati menerima permohonan maaf Nurul Izzah. Bagi beliau, inilah yang diajar oleh Islam dan adat Melayu, supaya saling hormat menghormati antara satu sama lain,” kata pembantu isteri perdana menteri itu, Datuk Rizal Mansor.

Menulis di Facebook, katanya, Rosmah berpendapat perbezaan fahaman dan pandangan politik tidak boleh mengketepikan adab dan hormat.

“Yang muda menghormati yang tua, yang tua mengasihi yang muda,” kata Rosmah.

Bagi Rizal, elok juga sekiranya Nurul Izzah membuat permohonan maaf secara berdepan dengan Rosmah.

“Tidak salah untuk memohon maaf, bersalaman dan berdakapan. Sesuai dengan kelembutan nama ‘Puteri Reformasi’ yang disandangnya selama ini.

“Ia lebih manis dan bermakna daripada permohonan maaf di media,” katanya.

Semalam, Nurul Izzah memohon maaf kepada Rosmah Mansor yang mendakwa dirinya tersinggung kerana naib presiden PKR itu tidak menghormati orang yang lebih tua.

"Ikhlas, jika saya secara tidak sengaja memanggilnya hanya dengan namanya, saya mohon maaf, saya selalu cuba membahaskan dirinya dengan panggilan Datin Seri," katanya kepada Malaysiakini.

Nurul Izzah juga mendedahkan bahawa ibunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Rosmah pernah bersama menghadiri Kolej Tengku Kursiah di Seremban.

Bercakap kepada anggota Wanita BN di kawasan Lembah Pantai, semalam, Rosmah berkata beliau berkawan dengan Wan Azizah dan sering kali melawat rumah mereka, sebelum ini.

Dakwanya, Nurul Izzah yang dikenalinya sejak kecil lagi kini hanya memanggilnya dengan nama selain melemparkan pelbagai tuduhan ke atasnya.

"Saya tahu masa itu, saya tengok dia (Nurul Izzah) gigi pun tak ada lagi, masa dia umur 6 atau 7 tahun. Sekarang dia boleh panggil, dia tuduh saya macam-macam dalam media sosial media.

"Dia tak nak panggil saya Datin Seri Rosmah tak apa, panggilah aunty Rosmah ke, makcik Rosmah ke, ini tak, terus-terus panggil saya Rosmah Mansor,” katanya.

Justeru, tambah Rosmah, antara tujuannya menubuhkan program kebajikan Permata Negara adalah untuk mendidik kanak-kanak menghormati orang tua.

Bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk dalam penjara, dan Datuk Seri Najib Razak pernah menjadi sekutu dalam Umno.

Dalam nota tambahannya, Rizal juga menyoal pemimpin PKR lain yang didakwanya sering-kali memfitnah Rosmah.

“Nurul Izzah dah mohon maaf, (Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohammed) Azmin Ali, (Naib Presiden PKR) Rafizi Ramli dan lain-lain yang kaki maki dan fitnah Rosmah siang malam bila lagi?

“Moga-moga terbuka lah hati mereka untuk berpolitik dengan lebih matang dan beretika,” katanya.

Lihat Komen
ADS