Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bots 'Rusia' banjiri twitter dengan mesej pro-BN menjelang PRU14
Diterbitkan:  Apr 21, 2018 3:59 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Hanya beberapa minggu lagi sebelum Malaysia berdepan dengan pilihan raya umum, akaun automatik yang dikenali sebagai 'bots' membanjiri Twitter dengan puluhan ribu mesej pro-kerajaan dan anti-pembangkang, demikian menurut semakan tweet oleh Reuters dan institut penyelidikan media digital AS.

(Menurut internet, bots adalah program di Internet yang melakukan fungsi berulang seperti menghantar mesej pada blog, kumpulan berita dan rangkaian sosial atau mencari maklumat.

Sesetengah bot berjalan secara automatik, sementara yang lain hanya melaksanakan arahan apabila mereka menerima input tertentu).

Ditanya mengenai perkara itu, Twitter Inc yang berpangkalan di San Francisco berkata ia memberi tumpuan untuk mengenal pasti dan menggantung akaun yang melanggar dasar spamnya.

"Kami terus bekerja keras untuk menangani sebarang automasi yang berniat jahat di platform kami serta akaun spam," katanya, tanpa memberikan butiran khusus.

Sumber yang rapat dengan perkara tersebut berkata syarikat itu telah menggantung 500 akaun yang membabitkan mesej mengenai pilihan raya umum pada 9 Mei ini kerana ia melibatkan spam atau automasi berniat jahat.

Bots Twitter, akaun yang boleh menyiarkan, like atau menghantar tweet semula secara automatik, tidak menyalahi undang-undang di Malaysia dan nampaknya mempunyai kesan minimum terhadap kempen pilihan raya.

Tetapi ia menjadi tumpuan pemerhatian global di tengah-tengah siasatan terhadap akwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya Amerika Syarikat pada 2016 menggunakan platform media sosial.

Datuk Ahmad Maslan, pengerusi biro teknologi maklumat Umno berkata beliau tidak tahu siapa di belakang aktiviti bots itu.

Menteri komunikasi dan menteri sementara Salleh Said Keruak tidak menjawab panggilan atau mesej teks untuk mendapatkan komen.

Seorang penyelidik di Makmal Penyelidikan Forensik Digital (DFR) di badan pemikir Atlantic Council yang berpangkalan di Washington berkata lebih 17,000 bots menciap kandungan yang berkaitan dengan pilihan raya Malaysia sejak minggu lalu.

Sembilan daripada 10 akaun bot paling aktif mengandungi tanda pagar (hashtags) anti-pembangkang dan mesej pro-kerajaan dengan nama-nama seperti nama Rusia dan menggunakan skrip Cyrillic, kata Donara Barojan, seorang penyelidikan di DFR.

"Kelaziman bots dengan nama skrin Cyrillic tidak semestinya menunjukkan bahawa pengguna media sosial Rusia campurtangan dalam pilihan raya Malaysia, tetapi menunjukkan bahawa sesiapa yang di belakang kempen membeli bots yang dicipta oleh penyediakan bots berbahasa Rusia," katanya.

Reuters tidak dapat menentukan di mana tweet itu berasal atau firma mana atau individu mana mungkin di belakang akaun bot.

Gabungan BN berdepan dengan pertembungan sengit dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pakatan pembangkangnya.

'Kata tidak kepada HARAPAN'

Tweet itu termasuk visual yang menggambarkan dasar kerajaan Malaysia dan mempersoalkan janji pembangkang. Sesetengah tweet mempunyai gambar penyokong BN yang membawa bendera parti dan tulisan "1 love PM".

Tweet juga termasuk hashtags: sama ada slogan kempen BN atau frasa anti-pembangkang atau kedua-duanya. Hashtags yang menyatakan tidak setuju dengan pakatan pembangkang Pakatan Harapan termasuk '#SayNoToPH' dan '#KalahkanPakatan'.

Kedua-dua hashteg anti-pembangkang telah digunakan sekitar 44,100 kali oleh 17,600 pengguna pada 12-20 April dan 98 peratus daripada pengguna kelihatan seperti bots, kata Barojan.

Banyak grafik yang dilampirkan pada tweet memberikan butiran laman media sosial akaun yang berkaitan dengan BN. Tidak ada bukti bahawa akaun-akaun ini berada di belakang tweet automatik itu.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketua pemuda dalam pakatan pembangkang, berkata kesan dari aktiviti bots itu "teramat kecil". Dia tidak mengulas lanjut.

Twitter tidak begitu popular di Malaysia seperti Facebook, walaupun banyak wacana politik muncul di platform itu.

Mesej automatik skala ini bertujuan untuk menjana trafik di sekitar kandungan yang mereka siarkan, dan mendapatkan pengguna 'manusia' untuk turut serta, tetapi belum berlaku di Malaysia, menurut DFR Lab.

Twitter dan Facebook berada di bawah pemerhatian di Amerika Syarikat di mana penggubal undang-undang mengesyaki platform mereka digunakan sebagai sebahagian daripada dakwaan usaha Rusia yang dikatakan untuk mempengaruhi pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 2016 yang memihak kepada Donald Trump. Kremlin menafikan tuduhan itu.

The Times melaporkan tahun lalu bahawa akaun Twitter Rusia mencatatkan hampir 45,000 mesej mengenai Brexit dalam 48 jam sekitar referendum 2016 di Britain, dan banyak mesej yang muncul dari bot atau akaun cyborg. Rusia telah menafikan campur tangan dalam Brexit. [Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS