Paling Popular
Terkini

PRU14 | Bekas anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Rahman Bakar, pernah digelar “giant killer” kerana menewaskan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua kali dalam pilihan raya umum, dan senjata beliau ketika itu ialah meyakinkan pengundi bahawa Barisan Nasional jauh lebih baik dalam mentadbir Marang dan Terengganu.

BN, katanya, kini telah melakukan pelbagai projek pembangunan termasuk penambahbaikan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Marang, membina masjid dan balai polis, yang jelas menunjukkan komitmen BN untuk agama, bangsa dan pembangunan negara.

Untuk masjid sahaja, BN telah membina 53 buah masjid di sini bagi kegunaan penduduk dan pelancong berbanding PAS yang mempunyai Masjid Rusila (gambar, bawah), pusat Abdul Hadi (penyandang) memberikan ceramah agama, katanya.

“Kita kena terangkan betul-betul kepada pengundi tentang sifat pembangkang yang sebenarnya. Tentang agenda pembangunan yang dipinggirkan sepanjang mereka memegang kerusi Parlimen Marang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Rahman berkata beliau telah meyakinkan rakyat Terengganu sebelum ini bahawa BN sebuah parti yang memperjuangkan Islam, bangsa dan negara.

Ketika ditanya mengenai peluang BN mengalahkan Abdul Hadi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Abdul Rahman berkata BN memiliki beberapa calon yang mampu bertindak sebagai ‘giant killer’.

“Apa yang penting ialah kita harus susun jentera PRU dengan baik dan memperkemaskan portfolio parti supaya setiap maklumat yang benar dan telus dapat sampai tepat kepada pengundi, terutama, pengundi muda, pengundi pertama dan pengundi di atas pagar.

“Jentera BN sendiri harus berfungsi sepenuhnya, dari segi penyebaran maklumat, ceramah dan sebagainya. Tidak boleh terdapat jentera-jentera yang mati atau separuh hidup,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kelemahan pihak lawan banyak, dan boleh dijelaskan dalam siri penerangan yang diadakan, bagi menepis fitnah dan propaganda pihak pembangkang.

Bagaimanapun dalam memberikan khidmat dan menghulurkan bantuan, “Jangan kira lambang parti, sekiranya ada rakyat yang datang meminta bantuan, selagi layak, berilah, setidak-tidaknya sedikit. Ini yang akan membuatkan mereka befikir dua kali ketika hendak memilih calon wakil rakyat mereka nanti,” katanya.

Abdul Rahman menewaskan Abdul Hadi untuk kerusi Parlimen Marang pertama kali pada PRU 1986, ketika berusia 33 tahun, sebelum mengulangi kejayaannya untuk kerusi yang sama pada PRU 2004 pada usia 52 tahun.
 

-Bernama

Lihat Komen
ADS