Paling Popular
Terkini

PRU14 | Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menjelaskan telah membuat permohonan "melalui saluran yang betul" untuk menggunakan stadium awam bagi tujuan politik.

Ini meskipun terdapat arahan kerajaan negeri menghalang majlis tempatan daripada menyewakan tempat mereka untuk kegunaan parti politik sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-14 (GE14).

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Mohd Shahir mempersoalkan penggunaan stadium Kuala Selangor untuk majlis "Jelajah Harapan Selangor" yang dijadualkan berlangsung Isnin ini (23 April).

Ketua biro komunikasi PKR Selangor, Nor Hizwan Ahmad (yang disenaraikan sebagai orang yang berkenaan bagi majlis tersebut) ketika dihubungi berkata penggunaan tempat itu telah mendapat kelulusan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) selepas penganjur merayu arahan berkaitan.

"Kami menghantar surat rasmi dan kami menerima kelulusan. Kami melalui saluran yang betul.

PKR nafi kerana kedudukan Azmin

"Kami berjaya merayu (arahan pekeliling SUK itu) " katanya kepada Malaysiakini sambil menjelaskan pihak penganjur masih menunggu permit polis bagi majlis berkenaan.

Majlis pada Isnin ini menampilkan pimpinan utama HARAPAN termasuk Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri besar sementara Selangor dari PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Nor Hizwan menafikan kelulusan itu didapatkan atas kedudukan Azmin dalam kerajaan negeri.

"Kami melalui saluran yang betul. Arahan itu hanya surat, bukan perintah mahkamah. Orang ramai sentiasa dialu-alukan untuk membuat rayuan.

"Pihak lain (politik) boleh memohon dan melalui proses rayuan yang sama juga," jelasnya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Azmin untuk mendapatkan ulasan.

Malaysiakini melihat surat arahan bertarikh 4 April 2018 itu dengan tajuk "larangan penggunaan dewan serba guna, dewan orang ramai dan ruang terbuka yang dimiliki oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada parti-parti politik bagi PRU14".

Surat itu memberikan alasan kerajaan menjangkakan banyak permohonan daripada parti politik untuk menggunakan tempat-tempat ini bagi tujuan ceramah politik apabila kemudahan tersebut dimaksudkan untuk kegiatan kemasyarakatan serta program PBT.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya menandatangani surat tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS