Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno mahu kerusi BTR: Perlu tolak ansur, kata presiden MCA
Diterbitkan:  Apr 21, 2018 5:45 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCA akan menampilkan lebih ramai calon muda dan profesional pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) bagi menarik lebih ramai pengundi muda.

Sehubungan itu, beliau berkata, "Senarai pendek calon telah diluluskan oleh Pengerusi BN (Barisan Nasional) (Datuk Seri Najib Razak) dan mereka (calon) telah diberitahu perkara itu secara dalaman.

“Kita akan tunggu lampu hijau dari pengerusi BN untuk mengumumkan calon nanti," katanya kepada pemberita pada Majlis Santai Silaturrahim Felda Kemasul Bersama Pemimpin di Felda Kemasul, di Bentong hari ini.

Kenyataan Liow itu dipercayai ada kaitan dengan gesaan Naib Ketua MCA Bandar Tun Razak Ng Choon Hua agar pimpinan tertinggi MCA mempertahankan kerusi parlimen itu (Bandar Tun Razak) dan menyokong ketua bahagiannya Chew Yin Keen untuk bertanding di situ.

Umno dilaporkan turut berminat bertanding bagi kerusi tersebut.

Liow meminta semua pihak bertolak ansur dalam isu perebutan kerusi Parlimen berkenaan dan melihat perkara itu dengan gambaran yang lebih besar.

Katanya perkara utama yang perlu diambil kira ialah meletakkan calon BN dari mana-mana parti yang mampu membawa kemenangan kepada BN pada PRU-14.

"Perkara itu melibatkan pertukaran kerusi dan kita kena bincang dengan peringkat atasan dan keputusan akan dibuat pengerusi BN.

"Yang penting kita letak calon yang boleh menang. Kalau tidak boleh menang kerusi ini kita tukar kerusi lain. Kena ada semangat tolak ansur demi kepentingan semua parti," katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS