Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib sayang Jho Low dari kawannya, kata Shafie
Diterbitkan:  Apr 21, 2018 10:42 PM
Dikemaskini: 3:32 PM

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal menempelak Perdana Menteri (kerajaan sementara) Datuk Seri Najib Abdul Razak atas kenyataannya bahawa bekas menteri itu telah menikam beliau dari belakang.

"Saya pergi rumah dia, saya cakap dengan dia face to face, advise him as a friend, kena siasat 1MDB ambil tindakan.

"Bila saya bersuara saya pula diambil tindakan. Rupanya kawan ini (Najib) dia lagi sayang Jho Low dari kawan dia," kata Shafie di Sandakan hari ini.

Pada 9 April lalu, Najib memberitahu hadirin di kampung halaman Shafie di Semporna bahawa beliau telah menikamnya dari belakang dengan meninggalkan Umno.

"Minta dia bincang dengan Musa (Ketua Menteri Sabah) tetapi banyak nasihat saya dia tidak dengar. Saya kecewa dalam keadaan tertentu dia tikam saya dari belakang... pedih rasanya apabila sahabat karib berbuat demikian," Najib dipetik Bernama sebagai berkata.

Shafie keluar Umno pada 2016, setahun selepas beliau dipecat daripada kabinet kerana mengkritik skandal 1MDB.

Manakala itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin - yang juga dipecat daripada kabinet bersama Shafie atas sebab yang sama - turut berseloroh mengenai kenyataan Najib.

"Mungkin jika dia (Najib) bertemu dengan saya, dia akan berkata 'kamu menikam saya depan-depan'," kata Muhyiddin.

Kedua-dua mereka berucap pada majlis pelancaran Manifesto HARAPAN Sabah.

WARISAN bukan parti komponen HARAPAN, tetapi membentuk pakatan dengan PKR dan DAP dalam pilihan raya.

Lihat Komen
ADS