Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMANAH tak dapat kerusi, bidas WARISAN secara berdepan
Diterbitkan:  Apr 22, 2018 12:33 AM
Dikemaskini: 5:00 PM

PRU14 | Tiada gunanya berjuang tentang kesaksamaan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika AMANAH Sabah tidak dilayan sama rata, kata pengerusi negeri parti itu, Hamzah Abdullah dalam satu kenyataan yang disasarkan kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau berucap mengkritik hal berkenaan tanpa berselindung di hadapan Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi PKR Sabah Christina Liew serta pengerusi DAP negeri itu, Stephen Wong.

Hamzah secara terbuka menyatakan kekecewaannya kerana AMANAH tidak diperuntukkan kerusi bertanding di Sabah di bawah kerjasama HARAPAN dan WARISAN.

"Kalau rakan sama rata takkan lah AMANAH tak dapat kerusi langsung. Takkan tak dapat dua kerusi. Semua kena dapat.

"Kalau AMANAH langsung tak diberikan. Anda mempermain-mainkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), anda tidak mengamalkan MA63," kata Hamzah pada majlis pelancaran manifesto HARAPAN peringkat negeri Sabah.

Beliau menegaskan walaupun HARAPAN tidak akan bertempur dengan WARISAN dalam pilihan raya umum, AMANAH Sabah akan memegang keputusan rundingan dalaman HARAPAN yang awal bahawa parti itu akan bertanding di dua parlimen dan dua kerusi DUN.

"Kita cuma harap tiada pertembungan HARAPAN dengan WARISAN," katanya lagi.

Dalam ucapannya lagi yang kelihatan seolah menyindir Presiden WARISAN, Hamzah berkata pengundi akan kecewa jika memilih pemimpin bekas menteri yang punya wang.

Beliau turut bertegas pemimpin AMANAH akan tetap berjuang melawan Umno.

Shafie merupakan bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah dan naib presiden Umno.

Beliau menubuhkan WARISAN selepas keluar Umno pada 2016, setahun selepas digugurkan daripada kabinet.

Dalam ucapan beliau kemudian, Shafie berkata beliau telah berunding dengan Presiden AMANAH Mohamad Sabu, serta Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya kedua-dua parti itu tidak bertanding di Sabah.

Sebagai pertukaran, Shafie berkata pemimpin Bersatu atau Amanah boleh dilantik sebagai senator atau pegawai kerajaan negeri Sabah.

Lihat Komen
ADS