Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M lihat nilai saksama ringgit pada kadar 3.8
Diterbitkan:  Jun 22, 2018 5:47 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan nilai saksama ringgit pada tahap 3.8, kira-kira 5 peratus lebih kukuh daripada kadar semasa berbanding dolar seperti yang ditetapkan semasa krisis kewangan Asia pada 1998.

Menurut Bloomberg, mata wang itu meningkat 0.3 peratus selepas  wawancara dengan Mahathir hari ini.

Nilai saksama merujuk anggaran nilai pasaran yang ditetapkan untuk barangan, perkhidmatan, aset, atau liabiliti, yang dalam kes ini merujuk kepada nilai ringgit.

"Kami ingin mengukuhkan ringgit tetapi perlu dilakukan secara neutral," kata Mahathir hari ini, tanpa sebarang penjelasan.

Beliau menyalahkan kemerosotan ringgit berpunca akibat tekanan dihadapi kebanyakan pasaran baru yang muncul di rantau ini, selain kebimbangan mengenai dolar serta perang perdagangan AS-China.

"Ini sebenarnya masalah yang timbul daripada keadaan ekonomi dunia, bukan hanya kita," katanya.

Sebelum ini banyak pihak, termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, menyalahkan kerajaan kerana mendedahkan skandal berkaitan 1MDB sebagai punca utama kemerosotan ringgit.

Najib berkata ini ditambah pula dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa negara berhutang sebanyak RM1 trilion disebabkan pentadbiran BN, yang menyebabkan pelabur melarikan diri.

Lihat Komen
ADS