Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terlalu awal cakap pasal keutamaan, kata gabenor BNM

Gabenor Bank Negara (BNM) yang baru, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata masih terlalu awal baginya untuk bercakap mengenai keutamaan yang harus dilakukan selepas dilantik mengetuai bank pusat itu.

"Saya dan tinggalkan (BNM) hampir dua tahun. Saya perlu kembali dan mulakan tanggungjawab saya pada bulan Julai dan berbincang dengan kakitangan mengenai keadaan semasa dan apakah keutamaan untuk bergerak ke hadapan," katanya dalam satu sidang akhbar di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Nor Shamsiah menjawab soalan wartawan mengenai keutamaannya beliau selaku gabenor baru pada masa ini.

Mengucapkan terima kasih kerana dilantik ke jawatan itu, Shamsiah berkata beliau menerima pelantikan itu dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab.

"Saya akan berusaha menjalankan tugas sebagai gabenor Bank Negara dengan sebaik mungkin, bersama pasukan sekarang.

"Bank Negara akan terus menumpukan bagi menyampaikan mandat untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan monetari demi kepentingan negara," katanya.

Terdahulu dalam sidang media yang sama, Menteri Kewangan Lim Guan Eng secara rasmi mengumumkan pelantikan Shamsiah sebagai gabenor baru.

Nor Shamsiah pertama kali menyertai bank pusat pada 1987 dan menjadi timbalan gabenor pada tahun 2010.

Beliau meninggalkan Bank Negara pada November 2016 selepas tamat perkhidmatan.

"Sebagai timbalan gabenor, Nor Shamsiah bertanggungjawab dalam perbankan, penyeliaan insurans dan takaful, perisikan kewangan dan penguatkuasaan, pengurusan bakat, kewangan dan perkhidmatan bersama bank pusat," kata Lim.

Lihat Komen
ADS