Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan gabenor BNM rangsang Bursa Malaysia
Diterbitkan:  Jun 22, 2018 6:33 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini selepas para pelabur memberikan reaksi positif terhadap pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Menurut seorang peniaga, dengan pengalaman luas Nor Shamsiah dalam industri berkaitan, pelantikan itu telah merangsang keyakinan para pelabur dalam pasaran tempatan.

Pada penutup, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 1.83 mata atau 0.11 peratus untuk ditutup pada 1,694.15 berbanding 1,692.32 yang direkodkan semalam.

Indeks dibuka 9.35 mata lebih rendah pada 1,682.97 dan bergerak antara 1,678.03 dan 1,699.95 sepanjang hari ini.

Pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 480 berbanding 350 manakala 417 kaunter tidak berubah, 679 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan bagaimanapun lebih rendah sebanyak 2.0 bilion saham dengan nilai RM2.22 bilion daripada 2.12 bilion saham bernilai RM2.67 bilion sebelum ini.

Pada satu sidang akhbar tengah hari tadi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelantikan Nor Shamsiah sebagai gabenor BNM bagi tempoh lima tahun, mulai 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023.

Nor Shamsiah merupakan timbalan Gabenor BNM dari 2010 hingga 2016, dan baru-baru ini beliau telah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pasaran Modal Tabung Kewangan Antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hermana Capital Bhd dan Ketua Pegawai Pelaburan, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata pemulihan sejak pertengahan tengah hari tadi adalah disebabkan oleh pembetulan baru-baru ini yang telah menolak bursa tempatan kepada paras terendah selama 15 bulan semalam.

"Pasaran telah mengalami pembetulan kira-kira 10.3 peratus sejak awal tahun ini sehingga semalam, yang juga merupakan pembetulan terbesar sejak 2009," katanya kepada Bernama.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9 .19 dan Public Bank meningkat 30 sen kepada RM22.92, manakala Tenaga jatuh 14 sen kepada RM13.80, CIMB susut dua sen kepada RM5.81 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.40.

Bagi saham aktif, Sapura Energy menokok 4.5 sen kepada 64.5 sen, PUC dan Iris masing-masing mencecah setengah sen kepada 19.5 sen dan 15.5 sen, manakala Barakah jatuh setengah sen kepada 15.5 sen dan MyEG kekal pada RM1. 00.

United Plantations mendahului senarai untung tertinggi, naik RM1.00 kepada RM27.30 manakala BAT mencatatkan kerugian apabila berkurangan sebanyak 96 sen kepada RM35.12.

Indeks FBM Emas bertambah sebanyak 16.57 mata kepada 11,973.46, Indeks FBMT100 naik 13.43 mata kepada 11,758.64, FBM70 adalah 19.24 mata lebih kukuh pada 14,561.80 dan Indeks FBM Ace melonjak 109.01 mata kepada 5,267.46.

FBM Emas Shariah Indeks turun 4.97 mata kepada 12,041.89.

Berdasarkan sektor, Indeks Kewangan kukuh sebanyak 108.63 mata kepada 16,854.96 tetapi Indeks Perindustrian turun 10.61 mata kepada 3,118.97 dan Indeks Perladangan mencatatkan kerugian sebanyak 27.82 mata kepada 7,509.76.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.24 bilion saham bernilai RM2.05 bilion daripada 1.34 bilion saham bernilai RM2.53 bilion semalam.

Jumlah waran menokok kepada 527.68 juta unit bernilai RM133.23 juta berbanding 464.35 juta unit bernilai RM102. 31 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 239.03 juta saham bernilai RM43.01 juta berbanding 317.21 juta saham bernilai RM43.59 juta sebelumnya.

Produk pengguna menyumbang sebanyak 35.89 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian (191.89 juta), pembinaan (88.94 juta), perdagangan dan perkhidmatan (624.28 juta), teknologi (43.55 juta), infrastruktur (35.29 juta), SPAC (944,900) , kewangan (63.53 juta), hotel (9.95 juta), hartanah (93.32 juta), perladangan (51.56 juta), perlombongan (7,000), REIT (1.52 juta) dan dana/tertutup (9,100).

- Bernama

Lihat Komen
ADS