Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Salah seorang calon exco Pemuda Umno menafikan dia terlibat mengamalkan politik wang bagi meraih undi daripada perwakilan menjelang pemilihan sayap parti itu esok.

Menurut Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abd Rahman dia sendiri tidak tahu 'wang' yang dimaksudkan oleh pihak yang membuat aduan kepada Lembaga Disiplin Umno pada pagi tadi.

"Bila nak bertanding ini, dakwaan seperti itu (perkara) biasa. Jadi saya nak beritahu bahawa kami menafikan dakwaan itu. Tak ada pun wang sogokan.

"Saya tak tahu wang itu, kena tanya dia. Wang apa yang dia maksudkan sebagai sogokan.

"Perjumpaan itu memang ada tapi pemberian (wang) tak ada. Sebab itu saya nak tahu betul ke duit itu datang daripada saya," katanya kepada Malaysiakini.

Pada pagi tadi, Ketua Pemuda Umno Cawangan Taman Munsyi Ibrahim yang juga calon Naib Ketua Umno Pulai, Sharyfudin Basari, membuat laporan kepada Lembaga Disiplin Umno dan mendakwa Nafiq mengamalkan politik wang.

Sharyfudin berkata, perbuatan itu didakwa berlaku kira-kira jam 10.30 malam Selasa lalu di sebuah restoran di Johor Bahru.

Katanya kira-kira 15 perwakilan didakwa diberikan 'duit raya' antara RM200 hingga RM300.

Wang itu, menurut Sharyfudin diberikan berdasarkan kedudukan mereka dalam parti.

Ketika ditanya sama ada akan membuat sebarang laporan penafian, Nafiq memberitahu dia akan berjumpa Sharyfudin terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Kami akan buat laporan kepada Lembaga Disiplin parti bahawa ia dakwaan palsu.

"Kami nak jumpa dulu individu itu yang kita kenal, nak tanya apa motif dia sebab kita percaya ada motif di sebalik dakwaan yang dibuat.

"Saya akan tanya dia dulu (sebelum ambil sebarang tindakan) kerana kita nak jaga keharmonian Umno bahagian," kata Nafiq yang merupakan ketua Pemuda Umno Pulai.

Lihat Komen
ADS