Noh: Siasatan polis dan badan penyiasat bebas berasingan

Polis akan terus menyiasat kes seorang wanita China dibogelkan dan disuruh ketuk ketampi ketika dalam tahanan lokap walaupun sebuah badan penyiasat bebas ditubuhkan untuk menyiasat kes tersebut, kata Datuk Noh Omar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, siasatan oleh pihak polis dan badan penyiasat bebas, yang penubuhannya diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, akan berjalan secara seiringan.

"Siasatan polis mengenai kes itu akan berjalan seperti biasa dan ia dilakukan tanpa mengganggu siasatan yang dilakukan oleh badan penyiasat bebas," katanya selepas melancarkan sambutan Hari Integriti kementerian itu di Putrajaya.

Minggu lalu, orang ramai digemparkan dengan laporan rakaman video yang menunjukkan seorang wanita dipercayai rakyat China melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel sambil diperhatikan individu wanita yang dipercayai anggota polis.

Klip video kira-kira 30 saat itu, dirakamkan menggunakan telefon bimbit berkamera video dan disebarkan melalui Khidmat Pesanan Multimedia (MMS).

Noh berkata, beliau percaya pihak polis mempunyai peraturan-peraturan tertentu terhadap tahanan, sama seperti badan keselamatan dan penguatkuasaan yang lain.
Katanya, terdapat juga keadaan di mana undang-undang dan peraturan itu dilaksanakan mengikut sesuatu pertimbangan dan budi bicara.

Beliau berkata, kini terpulanglah kepada badan penyiasat bebas sebagai pihak ketiga untuk menyiasat, menilai dan menjelaskan mengenai perbuatan yang dilakukan ke atas wanita terbabit.

Beliau juga yakin badan penyiasat bebas itu dan individu yang menganggotainya dapat memainkan peranan mereka secara berkesan dan menyediakan laporan lengkap mengenai kes itu sehingga dapat memuaskan hati semua pihak.

Sementara itu Ketua Polis Selangor Datuk Yahaya Udin pula dilaporkan berkata, lapan anggota polis telah dipanggil memberikan keterangan mengenai kes itu.

Semua anggota polis itu, katanya, adalah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, iaitu lokasi lokap balai polis di mana klip video wanita dibogelkan itu dipercayai dirakamkan.


 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.