Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Biarlah saya dituduh papan tanda, tapi dia papan iklan...'

PRK SERI SETIA | Dilabel sebagai calon papan tanda (signboard) calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Halimey Abu Bakar enggan melayan sangat kenyataan dibuat pemimpin tertinggi PAS terhadapnya.

Sebaliknya bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu sekadar memberikan komentar bersahaja buat Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kata Halimey terpulang kepada Abdul Hadi untuk menggelarnya sebagai calon papan tanda namun sebagai anak tempatan, dia yakin sudah melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin semasa menjadi ahli majlis MBPJ sejak 2008.

"Tak apalah dia kata saya signboard (tetapi) dia tu billboard.

"Nak kata apa pun, yang pasti saya anak tempatan di sini, dibesarkan di sini.

"Sedangkan tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi tempat saya dibesarkan," katanya kepada KiniTV hari ini.

Pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara HARAPAN dan pembangkang, PAS, yang disokong Umno.

Calon yang diturunkan PAS bagi cuba merampas kerusi Seri Setia Dr Halimah Ali. Dr Halimah, 58, pernah menjadi wakil rakyat bagi kerusi Selat Kelang selama dua penggal dan dilantik menjadi exco Selangor selama lebih enam tahun.

Tak rasa kekok

PRK Seri Setia akan diadakan pada 8 Sept ini, serentak dengan PRK Balakong.

Pada pilihan raya umum lalu calon HARAPAN Dr Shaharuddin Badaruddin memenangi kerusi Seri Setia dengan kelebihan 19,372 undi.

Seri Setia mempunyai 53,492 pengundi dan daripada jumlah itu kira-kira 55 peratus ialah Melayu, India 24 peratus, Cina 20 peratus dan selebihnya bangsa lain.

Kata Halimey terpulang kepada PAS, termasuk Abdul Hadi, untuk menggelarkannya apa saja namun dia diberi kepercayaan parti menjadi anggota majlis MBPJ sehingga baru-baru ini.

"Apa dia nak kata, terpulanglah.

"Saya dah lakukan tanggungjawab dan tugas dengan cara sempurna", katanya.


Baca Hadi: Jangan pilih calon 'papan tanda’ di Seri Setia


Mengenai faktor latar belakang sebagai wakil rakyat, Halimey, 46, berkata dia juga memiliki pengalaman sendiri.

"Tak apa, Dr Halimah ada pengalaman dia, saya ada pengalaman saya.

"Saya dah biasa dengan keadaan dan situasi di Seri Setia dan saya bukan orang dari kawasan luar.

"Jadi saya rasa insya-Allah dalam kempen saya tak kekok sebab saya dah kenal penduduk di sini yang tahu saya sejak saya kecil," katanya.

Lihat Komen
ADS