Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Gila-gila parlimen: Dari f*** you ke 'sesat ini neraka'
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 8:46 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

PARLIMEN | Pada sidang Dewan Rakyat penggal ke-14, buat kali pertama BN duduk di sebelah pembangkang - secara umumnya bermula lancar dengan anggota parlimen berkelakuan baik, rakamannya sesuai ditonton seisi keluarga.

Bagaimanapun, seperti sudah menjadi resmi persidangan parlimen di negara ini, ada peristiwa-peristiwa memalukan atau ganjil yang mengalihkan perhatian daripada debat yang lebih bermakna.

Malaysiakini menyenaraikan empat peristiwa 'gila-gila' yang menarik perhatian ketika sesi Dewan Rakyat kali ini yang baru melabuhkan tirainya minggu lalu.

'Sesat itu neraka'

Pada 13 Ogos, Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang kali pertama menjadi anggota parlimen mencelah ketika Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyampaikan penggulungan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018.

Ketika itu, Lim menjelaskan tentang penswastaan pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas. Che Abdullah bagaimanapun mahu membuat celahan berhubung kenyataan Lim sebelum itu yang mendakwa pembangkang juga mensabotaj usaha memansuhkan GST.

Che Abdullah (gambar) tidak berpuas hati atas asas PAS membantah kedua-dua GST dan SST. Justeru, katanya, tidak adil untuk Lim mengkritik PAS dengan cara itu.

Lim menjelaskan beliau merujuk kepada Umno dan bukannya PAS, sambil menambah hujah Che Abdullah "sesat" (menyimpang).

Ia mencetuskan kemarahan Che Abdullah, barangkali kerana perkataan "sesat" itu mempunyai konotasi negatif dalam agama.

Lim: Sudahlah, saya rasa sudah salah sasaran. Ini nampaknya Yang Berhormat Tumpat sudah sesat.

Che Abdullah: Tidak apa. Yang Berhormat menteri tolong jawab.

Speaker: Menteri tidak beri laluan. Sila duduk.

Lim: Sudah, sudah. Sudah sesat nampaknya. Saya nak balik kepada...

Che Abdullah: Tuan Yang di-Pertua, menteri sebut siapa sesat ini?

Selepas diam seketika, Lim membalas: "You punya hujah sudah sesatlah."

Che Abdullah kemudian mendesak Lim menarik balik perkataan 'sesat'.

Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudian bertanya semula atas dasar apa beliau mahu Lim menarik balik.

Speaker: Atas alasan?

Che Abdullah: Sesat ini neraka.

Speaker: Apa alasannya? Saya tidak terima. (Menteri) Silakan.

Lim: Saya akan teruskan. Lain kali saya tidak perlu bagi jalan lagilah.

Speaker: Kalau begini, lain kali saya kena bawa kamus tiap-tiap hari.

Lim: Ya, betul kena bawa kamus. Terima kasih Yang di-Pertua.

Che Abdullah meneruskan bantahannya tetapi tidak berhasil. Beliau kemudian bertelingkah dengan Lim.

Speaker: Perkataan itu merujuk kepada hujahan, bukan orang. Sila duduk.

Che Abdullah: Saya pun boleh kata menteri memberi jawapan yang sesat.

Lim: Bolehlah ini terpulang kepada anda. Akan tetapi, lain kali saya tahu inilah standard Yang Berhormat Tumpat, payahlah.

Che Abdullah: Dan itulah standard menteri.

Lim: Payahlah macam ini, payahlah.

Speaker: Sila duduk, kalau tidak, habis sesat-menyesat.

Insiden 'kepala bapak'

Pada penggal kali ini, RSN Rayer (HARAPAN-Jelutong), yang pertama kali menjadi anggota parlimen, menjadi 'pembela' utama anggota parlimen kerajaan.

Beliau "melindungi" barisan kerajaan daripada serangan pembangkang menerusi serangannya sendiri. Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggelarnya sebagai pembuli.

Rayer antaranya dikenali dengan ucapannya yang menyelitkan kata-kata kecaman terhadap BN dan mencelah perbahasan anggota parlimen BN dengan mengungkit skandal-skandal pentadbiran lalu, serta malah membangkitkan Rosmah Mansor.

Namun ungkapan "kepala bapak" yang paling mencetuskan kemarahan pembangkang.

Pada 31 Julai, ketika Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar) menyampaikan penggulungan titah diraja, Rayer membuat celahan dengan menyangkal komitmen pentadbiran lalu dalam soal kebajikan polis dan menamatkan ayatnya dengan ungkapan "kepala bapak".

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) segera bangun dan mendesak beliau meminta maaf kerana menggunakan kata-kata yang disifatkannya sebagai biadab.

Rayer bagaimanapun berkata beliau hanya mencontohi Najib yang beberapa kali menggunakan kata-kata itu secara terbuka untuk mengkritik HARAPAN.

Mahdzir: Guna fakta, Yang Berhormat. You boleh guna fakta tetapi jangan guna perkataan 'kepala bapak'. Ini tidak betul, tidak boleh Yang Berhormat.

Rayer: Saya hanya ikut Yang Berhormat Pekan (Najib).

Mahdzir: Come on, hormatlah sikit.

Rayer: Saya hanya ikut Yang Berhormat Pekan (Najib).

Beberapa anggota parlimen BN kemudian turut mendesaknya menarik balik perkataan itu tetapi Rayer hanya akur selepas diarahkan Timbalan Speaker Nga Kor Ming untuk berbuat demikian.

'F*** you!'

Sebagai penyokong kerajaan pada penggal-penggal sebelumnya, Datuk Bung Moktar Radin terkenal dengan sikap kasar dan kenyataan kontroversi.

Kini menjadi pembangkang, beliau nampaknya sudah semakin tenang sehingga mengundang pujian Nga (gambar), hinggalah pada 7 Ogos lalu.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018, Bung menceritakan beliau ke pasar Selayang dan mendapati harga barang di sana tidak berkurang walaupun selepas kadar sifar GST.

Ketika itu, Willie Mongin (HARAPAN-Puncak Borneo) - kali pertama menjadi anggota parlimen - secara mengusik bertanya Bung Moktar sama ada beliau ada ke kasino, merujuk kepada gambar yang tersebar sebelum itu yang mendakwa Bung berbuat demikikan.

Ia mencetuskan makian Bung Moktar - termasuk dua kali berkata "f*** you".

Willie: Bukan kasino, Kinabatangan?

Bung: Apa ini? Biadab! Ini kurang ajar! Tarik balik, ini biadab, Yang di-Pertua. Memang kurang ajar. Yang Berhormat tidak layak duduk di sini, samseng. What you want? You hendak gaduh dengan saya? Anytime.

Thomas Su (HARAPAN-Kampar): Tanya saja, Yang Berhormat Kinabatangan. Jangan marah.

Bung: F*** you!

Perang mulut berlaku dengan anggota parlimen di kedua-dua pihak menjerit kepada satu sama lain.

Namun suara Bung tetap jelas, beliau menuduh Willie sebagai kaki mabuk dan melanggan pelacur.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon gagal mengawal keadaan. Namun keadaan diselamatkan dengan deringan loceng menandakan waktu rehat tengah hari.

Apabila sidang bersambung, Bung menarik balik kata-kata “f*** you” tetapi masih melancarkan beberapa serangan kepada Willie.

"Saya menarik perkataan tersebut sebab memang tidak sopan pun. Bagaimanapun, cubaan daripada Yang Berhormat Puncak Borneo tidak baik. Saya pun nampak dia minum dengan perempuan pelacur tetapi saya tidak peduli," katanya lagi.

Selepas satu lagi pusingan pertelingkahan, Bung akhirnya menarik balik tuduhan terhadap Willie.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (HARAPAN-Ampang) kemudian memfailkan usul untuk merujuk Bung kepada jawatankuasa hak dan kebebasan tetapi ditangguhkan selepas Bung berjanji untuk memohon maaf pada sidang Dewan Rakyat seterusnya Oktober ini.

Insiden 'samseng'

Ramkarpal Singh (HARAPAN-Bukit Gelugor) merupakan peguam ternama, bagaimanapun beliau menjadi anggota parlimen pertama\a yang diarah keluar dewan bagi penggal ke-14.

Ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Petuan Agong pada 18 Julai lalu, Ramkarpal mengingatkan dewan tentang bagaimana anggota Umno - yang digelarnya sebagai "samseng" - mengepung bapanya mendiang Karpal Singh di kawasan Parlimen pada 2009.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) membalasnya dengan berkata beliau setuju tentang menegakkan kedaulatan undang-undang. Ramkarpal (gambar) kemudian membangkitkan bahawa ucapan Shamsul tidak menafikan gelaran "samseng" terhadap anggota Umno yang terlibat.

Beberapa anggota parlimen BN membantah kenyataan itu dan mendesak Ramkarpal menariknya semula. Dalam pertelingkahan itu, Bung Moktar didengar menggelar Rayer juga sebagai samseng.

Memandangkan ia merupakan hari pertama sidang betul-betul bermula, Rashid yang pertama kali menjadi timbalan speaker sedikit terkial-kial dengan peraturan dewan. Beliau mengarahkan Ramkarpal menarik balik ungkapan "samseng" tetapi kemudian kelihatan berfikir dua kali.

Anggota parlimen BN yang lebih berpengalaman segera menyatakan peraturan melarang speaker menukar arahannya.

Ketika Rashid enggan berganjak, pembangkang menghujankan kata-kata "tarik balik" kepada Ramkarpal. Menuruk hansard, kata-kata itu disebut sekurang-kurangnya 70 kali.

Seperti insiden 'f*** you', Rashid menangguhkan dewan apabila keadaan sudah tidak terkawal.

Speaker Mohamed Ariff Md Yusoff yang menggantikannya ketika sidang disambung semula selepas rehat tengah hari mengarahkan Bung dan Ramkarpal menarik balik kata-kata mereka.

Bung setuju tetapi tidak Ramkarpal. Selepas beberapa kali usaha cuba membuatkannya akur gagal, Ariff akhirnya mengarahkan anggota parlimen Bukit Gelugor itu keluar dewan.

Lihat Komen
ADS