Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ANGKASA: Batu meteor lintasi ruang udara Sabah

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) mengesahkan objek bercahaya yang melintasi ruang atmosfera yang disusuli dentuman kuat di Sabah semalam adalah batuan dari angkasa lepas yang memasuki atmosfera bumi disebabkan tarikan graviti bumi.

ANGKASA dalam kenyataan di sini hari ini berkata pada kebiasaannya batuan meteor itu berasal daripada serpihan asteroid yang bersaiz lebih kecil iaitu kurang dari O.5 meter persegi.

"Apabila memasuki ruang atmosfera bumi dengan kelajuan yang tinggi batuan itu bergesel dengan partikel di atmosfera bumi dan menghasilkan haba yang menyebabkan ia terbakar dan bercahaya," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu bunyi dentuman yang kuat mungkin disebabkan batuan panas itu meletup di ruang atmosfera iaitu selepas beberapa saat cahaya meteor tersebut hilang.

Hasil daripada letupan berkenaan batuan meteor tersebut akan berkecai menjadi debu atau serpihan kecil yang berkemungkinan akan jatuh ke bumi.

"Memandangkan ia adalah fenomena biasa, rakyat Malaysia khususnya di Sabah tidak perlu bimbang dengan kejadian yang berlaku malam tadi kerana 95 peratus meteor akan musnah terbakar di atmosfera bumi," kata kenyataan itu.

Pihak ANGKASA juga menyarankan agar orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih melalui media sosial.

Semalam penduduk di daerah Kota Belud dan beberapa daerah sekitarnya kehairanan melihat cahaya terang melintasi ruang langit daerah itu sebelum hilang kira-kira jam 11.26 malam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS