Terjemahan Wanita yang menjadi kontroversi dalam klip video wanita berbogel dan melakukan ketuk ketampi di lokap polis adalah warga Malaysia keturunan Melayu!

Wanita berkenaan muncul pagi ini di hadapan panel suruhanjaya bebas yang menyiasat insiden salah laku di lokap polis itu.

Saksi berusia 22 tahun itu memakai baju kurung dan berkot. Bagaimanapun mukanya dilindungi sepenuhnya.

Dia menangis apabila diminta menyaksikan klip video selama 71 saat yang merakamkan dia melakukan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel.

Media telah diarahkan jangan menyiarkan nama dan gambar wanita tersebut.

Sebelum ini ketika klip video itu didedahkan kepada umum oleh ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, wanita di dalam rakaman tersebut disyaki wanita rakyat China.

Kesalahan dadah

Wanita tersebut memberitahu suruhanjaya bebas itu bahawa dia sudah berkahwin dan kini sedang mengandung tiga bulan.

Katanya, dia ditahan pada 29 Jun tahun ini kerana memiliki dadah, bersama lima orang lagi, termasuk suaminya.

Dia ditangkap di luar sebuah sekolah rendah di Damansara Jaya kerana memilik Syabu (methamphetamine).

Menurutnya, dia didakwa di mahkamah majistret dan kini dibebaskan dengan ikatjamin.

Katanya, dia hanya menyedari mengenai klip video tersebut selepas rakaman itu ditayangkan di televisyen.

Apabila ditanya perasaannya apabila dia diarah berbogel dalam lokap polis, wanita berkata: "Saya malu dan marah."

Dzaiddin juga bertanya sama ada beliau memakai tudung.

"Tidak, saya hanya memakainya apabila pergi kenduri."

Dzaiddin kemudian memintanya membuka tudung untuk mengecam identitinya.

Ketuk ketampi

Wanita itu kemudiannya mengecam Lans Koperal Wan Zawati Zalina Wan Ismail, sebagai anggota polis yang menyaksinya melakukan ketuk ketampi.

Katanya Wan Zawati mengarahnya supaya menanggalkan semua pakaiannya dan melakukan ketuk ketampi. Tiada dadah yang ditemui pada badannya ketika pemeriksaan itu dibuat, katanya.

Ditanya sama ada dia ada mendengar sebarang bunyi dari kawasan sekitarnya, wanita itu berkata dia terdengar suara orang membaca al-Quran dan juga laungan azan.

Katanya, dia tidak menyedari yang pelakuannya itu teolah dirakamkan dan juga berkata dia tidak dilayan buruk ketika dalam tahanan.

Sebaik selesai memberi keterangan, wanita itu dibawa keluar oleh seorang wanita di mana bahagian muka dan bahunya ditutup dengan kotnya.

Amalan biasa

Sementara itu, Wan Zawati memberitahu suruhanjaya itu bahawa beliau menyertai pasukan polis pada tahun 1999.

Katanya, sebelum dihantar ke lokap, semua tahanan wanita diarah menanggal pakaian dan melakukan ketuk ketampi.

Wan Zawati berkata, ia adalah amalan yang biasa dilakukan, tidak kira apakah kesalahan yang didakwa dilakukan oleh tahanan, sejak dia menyertai pasukan polis enam tahun lalu.

Suruhanjaya bebas it ditubuhkan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang turut mengecamkan perbuatan tersebut.

Suruhanjaya lima anggota yang diketuai oleh bekas Ketua hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah memulakan siasatannya semalam.

Seramai 21 saksi akan dipanggil memberi keterangan. Semalam tiga saksi, termasuk polis wanita yang kelihatan dalam klip video tersebut turut hadir di hadapan panel berkenaan. Siasatan itu dijalankan di bangunan bekas Mahkamah Persekutuan, Jalan Raja, Kuala Lumpur.