Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, pada mulanya beliau tidak menyangkakan tahanan wanita yang diarah berbogel dan ketuk ketampi dalam lokap polis baru-baru ini adalah wanita tempatan.
Menurutnya, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga menyangkakan mangsa adalah seorang wanita warganegara China sehingga identiti sebenar wanita tersebut terbongkar baru-baru ini.
Bagaiamanpun Timbalan Perdana Menteri menegaskan, samaada wanita itu rakyat tempatan atau warga China, isu ini bukanlah satu isu perkauman.
"Ini bukan soal perkauman kerana dari mula lagi kita telah menyuarakan keprihatinan kita berhubung isu ini. Walaupun sekiranya tahanan itu bukan warganegara Malaysia namun kerajaan tetap merasakan sebarang perkara yang boleh dianggap sebagai menghina tahanan sebagai tidak wajar, melainkan jika mengikut peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang," katanya.
Menurut laporan Bernama, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata pada dasarnya, beliau tidak menganggap isu tersebut sebagai isu perkauman kerana mana-mana individu tanpa mengira kaum dan agama berhak mendapat perlindungan atas hak asasi mereka mengikut ketetapan kerajaan Malaysia selama ini.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memerintah berasaskan kepada kaum. Saya tak tahu jika parti lain mempunyai niat begitu tetapi kerajaan BN tidak mempunyai pendekatan seumpama ini," katanya.
Katanya lagi, kerajaan Malaysia sejak awal lagi menyuarakan kebimbangannya selepas perkara itu hangat disensasikan oleh pihak tertentu.
Beliau berkata demikian di Pekan Pahang, selepas menyampaikan sumbangan pakaian seragam dan beg sekolah kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di kawsan Parlimen Pekan.
Identiti sebenar wanita yang diarah berbogel itu didedahkan awal minggu ini selepas saksi berkenaan disoalsiasat oleh panel Suruhanjaya Bebas yang menyiasat kes berkenaan. Saksi berkenaan adalah wanita Melayu berusia 22 tahun yang ditahan polis atas kesalahan dadah.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kenaikan tarif elektrik.
Katanya perkara penting seperti ini perlu diluluskan oleh jemaah menteri dan dibawa ke mesyuarat kabinet terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.
"Ia belum sampai ke peringkat kabinet lagi, ura-ura kita ada dengar tapi cuma setakat itu sahajalah," katanya.
