Suruhanjaya Siasatan Bebas yang menyiasat klip video seorang wanita melakukan ketuk-ketampi di dalam lokap balai polis Petaling Jaya akan menyiapkan laporan sebelum 15 Januari ini, kata pengerusinya Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Bercakap selepas mendengar penghujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, Dzaiddin, yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara berkata penggulungan hujah pagi ini menandakan berakhirnya siasatan awam dan tibalah masa untuk anggota suruhanjaya itu meneliti perkara yang dibangkitkan serta membuat cadangan sewajarnya.

Menurut laporan Bernama, Dzaiddin mengucapkan terima kasih kepada Suhaimi, peguam S. N. Nair yang merupakan peguam pemerhati bagi lima wanita warganegara China (salah seorang daripada mereka sebelum ini dipercayai terlibat dalam klip video itu) dan Majlis Peguam yang diberi status pemerhati dalam siasatan berkenaan, kerana kerjasama mereka.

Suruhanjaya itu dianggotai bekas Timbalan Presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek, bekas Presiden Majlis Peguam Kuthubul Zaman Bukhari, Ketua Biro Undang-Undang Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim dan Datuk Hamzah Mohamed Rus yang bertindak sebagai setiausaha suruhanjaya tersebut.

Sebelum itu, Dzaiddin tidak membenarkan permohonan Majlis Peguam untuk membuat penghujahan pada siasatan itu memandangkan majlis berkenaan hanya  pemerhati sahaja dan bukannya pihak yang terlibat.