Terjemahan Sebanyak 53 pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis media hari ini mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Noh Omar meletakkan jawatan kerana kegagalannya menangani isu wanita berbogel dan ketuk ketampi dalam lokap polis baru-baru ini.
Dalam kenyataan bersama mereka, NGO dan aktivis media itu menegaskan dua ketua pengarang akhbar China Press tidak sepatut dijadikan mangsa hingga terpaksa meletakkan jawatan mereka.
Minggu lalu kedua-dua ketua pengarang China Press itu diarahkan meletakkan jawatan untuk bertanggungjawab terhadap kesilapan mendakwa wanita yang terdapat dalam video klip bogel dan ketuk ketampi itu adalah warga China.
Pihak berkuasa turut dibidas kerana menjadikan akhbar sasaran selepas siasatan awam kes klip video itu berakhir.
Desakan berkenaan dinyatakan dalam memorandam yang disampaikan oleh mereka kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di ibu pejabat agensi itu di ibu negara pagi tadi.
Kira-kira 100 orang menghadiri protes tersebut. Mereka membawa kain rentang dan poster yang menuntut Noh meletakkan jawatan dan memprotes amalan penapisan maklumat dalam akhbar tempatan.
Memorandam itu antara lain turut meminta satu siasatan awam dilakukan terhadap pemecatan dua ketua pengarang akhbar berkenaan dan penyalahgunaan Akta Percetakan dan Penerbitan.
Antara yang menandatangani memorandam itu ialah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Persatuan Hak Asasi Manusia Nasional (Hakam), Centre of Independent Journalism (CIJ), bahagian pemuda Dewan Perhimpunan China Selangor, Pusat Perikatan Kebebabasan Media, Pusat Penyelidikan Sosial (REFSA) dan Institut Kajian Dasar.
Organisasi media
Portal akhbar malaysiakini dan merdekareview adalah dua organisasi media yang menandatangani memorandam tersebut.
Mereka berkumpul di luar pejabat Suhakam pada pukul 11 pagi dan pada pukul 11.45 pagi, lima wakil penunjuk perasaan dibenarkan bertemukan Pesuruhjaya Suhakam, N. Subramaniam. Turut hadir ialah ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok, orang yang bertanggungjawab mendedahkan klip video berkenaan kepada umum.
Sementara itu Subramaniam pula memberi jaminan isu tersebut akan ditangani dengan wajar dan segera. Katanya, isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Pesuruhjaya pada awal bulan depan.
" Sementara itu saya berharap anda dapat memberikan lebih maklumat dan dokumen yang boleh membantu kami dalam mesyuarat itu nanti," ujarnya.
Beliau mengulangi, Suhakam akan terus menyokong prinsip kebebasan bersuara dan mendapatkan maklumat.