Suruhanjaya bebas yang menyiasat insiden bogel dan ketuk ketampi dalam lokap polis pada hujung tahun lalu telah menyerahkan laporan mereka kepada Yang Dipertuan Agong pagi ini. 
Satu salinan laporan tersebut diserahkan kepada Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang sebelum baginda berlepas ke Kuwait.
Ketua suruhanjya itu, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menentukan samaada laporan itu akan didedahkan kepada umum atau tidak.
Menurut laporan Bernama, semua anggota suruhanjaya itu akan juga mengadakan pertemuan Perdana Menteri petang ini.
"Kami dijadualkan menemui Perdana Menteri pada pukul 5 petang ini. Terpulang kepada beliau untuk memutuskan samaada mendedahkan kepada umum atau tidak hasil siasatan tersebut," kata Mohamed Dzaiddin.
Menurut beliau, anggota suruhanjaya yang lain, Setiausahanya, Datuk Hamzah Mohd Rus, Datuk Lim Ah Lek, Datuk Kamilia Ibrahim dan Khuthubul Zaman Bukhari turut mengadap Yang Dipertuan Agong.
Sementara itu akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan antara lain laporan suruhanjaya itu merumuskan perbuatan ketuk ketampi dan keadaan bogel tidak wajar kerana ia menjatuhkan maruah individu.
Tanpa menyebut sumber-sumbernya, Utusan Malaysia menyatakan suruhanjaya itu turut menyarankan ketuk ketampi dihentikan kerana suspek belum lagi dibuktikan bersalah.
Akhbar itu juga melaporkan, laporan itu akan dibentangkan ke kabinet pada Rabu ini.
