Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri China undang isteri saya, kata Loke
Diterbitkan:  Feb 27, 2019 4:46 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan isterinya, Ng Chi Ling menghadiri pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China di Beijing atas dasar undangan.

"Menteri (pengangkutan) China (Li Xiaopeng) mengundangnya hadir (dalam mesyuarat itu) di sana," kata Loke pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Terdahulu MCA hari ini membangkitkan kehadiran Ng pada pertemuan antara Loke dan Li ketika mesyuarat rasmi negara di Beijing.

Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antabangsa MCA, Tee Ching Seng turut mempersoalkan kedudukan rasmi yang disandang isteri Loke sehingga membolehkannya menghadiri mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, pegawai khas Loke, Chung Yi Fan menyangkal dakwaan MCA bahawa perjalanan Loke mengambil masa selama enam hari.

Chung berkata perjalanan tersebut bermula dari 16 Jan hingga 22 Jan iaitu selama tujuh hari - jumlah hari minimum ditetapkan kerajaan untuk lawatan rasmi yang boleh dibawa bersama pasangan.

Chung turut menyebut mengenai pekeliling kerajaan yang menyatakan tujuh hari itu termasuk hari ketika melakukan perjalanan.

Beliau menambah kehadiran Ng pada pertemuan dengan Li juga tidak perlu dipersoalkan.

"Sekiranya mana-mana ahli delegasi Malaysia tidak hadir dalam program rasmi semasa lawatan kerja untuk menghadiri lawatan lain yang tidak rasmi, ia boleh jadi sebab untuk penelitian lanjut.

"Jika tidak, apa yang MCA lakukan tidak lebih daripada (usaha untuk mendapatkan) publisiti murahan," kata Chung dalam satu kenyataan.

Semasa pertemuan dengan Li, Loke berkata beliau telah mengundang ahli perniagaan China untuk mengambil bahagian dalam projek pengembangan pelabuhan Malaysia, khususnya di Pelabuhan Klang.

Beliau juga menjemput pengeluar industri kereta api China untuk menjadikan Malaysia sebagai hub Asean kerana negara itu mempunyai pengalaman yang diperlukan.

Mengenai isu penerbangan, Loke berkata beliau menggalakkan syarikat penerbangan dari kedua-dua negara menambah penerbangan dan menghubungkan Malaysia ke bandar-bandar utama China.

Beliau juga melobi China untuk menyokong hasrat Malaysia menduduki kerusi di Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan Majlis Penerbangan Awam Antarabangsa.

Lihat Komen
ADS