Permit The Sarawak Press Sdn Bhd, penerbit akhbar harian Sarawak Tribune, digantung serta merta sehingga suatu tarikh yang akan ditetapkan, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri mengumumkan keputusan itu sehari selepas Kabinet membincangkan tindakan harian itu pada Sabtu lalu menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW yang disiarkan beberapa akhbar di Eropah.
Dalam mesyuarat itu, seluruh anggota Kabinet, termasuk yang bukan Islam, menyifatkan perbuatan harian tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif dan harus dikenakan tindakan keras.
Abdullah, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berkata pengantungan itu dibuat mengikut subseksyen 6(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta 301.
Harian tersebut telah menyiarkan sebuah artikel bertajuk "Cartoon Not Much Impact Here" bersama karikatur Nabi Muhammad yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dan turut dikecam oleh kerajaan Malaysia.
Sementara itu, bekas editor Sarawak Tribune yang disingkirkan kerana penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w bertegas mahu mempertahankan dirinya dari tuduhan terbaru yang dilemparkan oleh penasihat akhbar itu, Idris Buang.
Editor berkenaan memberitahu malaysiakini dia akan menemui pihak akhbar di Kuching tidak lama lagi bersama peguamnya. Katanya, dia sedang mengkaji kenyataan yang dibuat oleh Idris yang mengandungi beberapa perkara yang perlu diperjelaskan.
Menurutnya, semasa menyertai semula akhbar berkenaan dua tahun lalu, jawatannya ialah penyunting dan ketika melepaskan jawatannya minggu lalu, dia masih lagi memegang jawatan yang sama.
Draf terakhir
"Ini bermakna sebagai seorang penyunting, saya tidak boleh menjadi seorang pengarang dan tidak boleh seorang diri dipertanggungjawab terhadap draf terakhir akhbar sebelum ia dicetak," ujarnya.
Beliau juga memberitahu, ketua pengarang akhbar itu, Toman Mamora turut melihat draf terakhir itu sebelum ia dicetak.
Idris di dalam komennya yang disiarkan di stesen televisyen, radio dan di akhbar-akhbar tempatan hari ini mendedahkan nama editor berkenaan dan menuduhnya dengan sengaja menyelitkan karikatur itu dalam muka surat akhbar berkenaan.
Idris, seorang peguam adalah Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Tan Seri Abdul Taib Mahmud.
Beliau menekankan bahawa editor berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyiaran karikatur tersebut.
Kenyataan Idris bertentangan dengan kandungan dua notis minta maaf yang telah disiarkan oleh Sarawak Tribune yang antara lain menyatakan editor tersebut tidak sengaja menyiarkan karikatur itu dan menyesali ketelanjurannya lalu menawarkan diri meletakkan jawatan.
Satu lagi fakta yang bertentangan dengan kandungan notis minta maaf itu ialah Idris mengatakan pihak pengurusan meminta editor tersebut meletakkan jawatan serta merta pada Sabtu lalu.
Dalam wawancara dengan malaysiakini semalam, editor berkenaan berkata, dia diarahkan meletakkan jawatannya.
Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Karim Abdul Rahman Hamzah pula berkata, ada dalang di sebalik perbuatan editor yang disingkirkan itu.
Karim, yang merupakan salah seortang penyokong kuat Taib Mahmud dikatakan turut tidak menyenangi peranan ketua pengarang akhbar tersebut dalam isu ini.
