Most Read
Most Commented
Read more like this

Parti Bertindak Demokratik (DAP) hari ini mengumumkan parti itu menarik diri daripada pakatan pembangkang Barisan Alternatif (BA).

Keputusan penarikan diri parti itu diumumkan oleh setiausaha agung parti Kerk Kim Hock di sidang akhbar khas yang diadakan di Petaling Jaya, petang tadi.

Menurutnya keputusan itu diambil selepas parti itu mengadakan satu mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), tengahari tadi.

"Pemimpin DAP dan Parti Islam Semalaysia (PAS) telah bertemu selama dua jam di Kuala Lumpur pagi tadi bagi berbincang dan menyelesaikan isu penubuhan negara Islam," katanya.

"Selepas perbincangan itu, parti DAP telah mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi melihat laporan perbincangan itu dan menerima usul penarikan diri parti ini," katanya.

"Melihat kepada kegagalan DAP dan PAS dalam menyelesaikan isu penubuhan negara Islam, CEC memutuskan bahawa tidak ada lagi keperluan untuk DAP terus bersama BA," tambah Kerk, memetik daripada usul jawatankuasa.

Tiga belas undi menyokong usul tersebut, dua menentang dan tiga undi berkecuali.

Sedih dan terkejut

Pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli ketika dihubungi melahirkan rasa sedih dan terkejut dengan keputusan DAP itu.

"Kita (PAS) rasa sedih dengan keputusan itu, walau bagaimanapun kita hormati keputusan yang diambil parti itu," katanya kepada malaysiakini .

Sementara itu, presiden PAS Fadzil Noor gagal dihubungi untuk memberi ulasan lanjut. Malaysiakini difahamkan beliau kini sedang menjalani rawatan di hospital.

Setiausaha agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Sanusi Osman berkata keputusan itu adalah sesuatu yang "mengejutkan" dan "tidak faham mengapa keputusan itu perlu dilakukan sekarang".

Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Dr Chandra Muzaffar pula berkata penarikan diri DAP itu tidak akan menjejaskan pakatan pembangkang yang sedia ada.

Sementara itu seorang sumber memberitahu malaysiakini bahawa 11 pemimpin DAP dan enam pemimpin daripada PAS telah hadir semasa perbincangan pagi tadi.

Sebelas pemimpin DAP yang hadir ialah penasihat parti Dr Chen Man Hin, pengerusi parti Lim Kit Siang, timbalan pengerusi Karpal Singh, naib pengerusi Dr Tan Seng Giaw dan Ahmad Nor, setiausaha agung Kerk Kim Hock, timbalannya Chong Eng and Zulkifli Mohd Noor, setiausaha organisasi Tan Kok Wai, setiausaha publisiti Ronnie Liu dan setiausaha antarabangsa Teresa Kok.

Sumber daripada BA memberitahu keputusan penarikan diri parti itu dipengaruhi oleh sentimen 'akar umbi' DAP Sarawak dalam suasana pilihanraya negeri itu yang kini berlangsung.

DAP Sarawak telah keluar daripada pakatan pembangkang sejak akhir tahun lepas.

Formula lima perkara

Dalam pertemuan pagi tadi, DAP telah mencadangkan formula lima perkara untuk menyelesaikan isu negara Islam tetapi tiada sebarang persetujuan dapat dicapai.

Menurut sumber itu, hanya dua daripada lima formula itu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Lima formula antara lain menyebut: "Sebarang usaha oleh mana-mana parti komponen untuk mengejar pengwujudan sebuah negara Islam, negara Buddhist atau negara Kristian adalah bertentangan dengan Manifesto BA."

Kedua: "Suatu pengulangan yang jelas bahawa di bawah Manifesto BA, undi untuk BA adalah undi untuk demokrasi, keadilan dan pemerintahan baik dan bukan untuk sebuah negara Islam - dan PAS mestilah bersetuju sepanjang tempoh BA, akan berganding bahu dengan parti BA lain pada semua peringkat ke arah Malaysia yang adil dan bukan sebuah negara Islam."

Ketiga: "Majlis BA harus diberi notis terdahulu tentang apa-apa enakmen atau langkah cadangan negara negeri Kelantan dan Terengganu yang mungkin menyinggung perasaan agama, masyarakat dan parti politik yang berbeza supaya membenarkan perundingan dan persetujuan sepenuhnya."

Keempat: "Suatu jawatankuasa BA khas harus ditubuhkan untuk memastikan bahawa pengumuman dan kenyataan keagamaan yang kontroversi atau sensitif terhadap manifesto BA dibuat hanya selepas perundingan terdahulu dan untuk menangani kes-kes perlanggaran."

Kelima: "Walaupun PAS memegang kepada prinsip negara Islam tetapi PAS sedia menerima hakikat bahawa di dalam sebuah negara yang majmuk, penubuhan negara Islam tidak sesuai dan tidak praktikal bagi Malaysia."

ADS