Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memilihnya sebagai penggantinya, kata Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshee.
Beliau berkata, jika Dr Mahathir tidak mempercayai dan tidak memilihnya, sudah tentu Abdullah tidak menjadi Perdana Menteri seperti hari ini.
Oleh itu katanya, Abdullah perlu mengorak langkah duduk bersemuka menyelesaikan pertelingkahannya dengan Dr Mahathir sekarang.
 Apakah terlalu sukar untuk kedua-dua mereka bersemuka? Sebelum ini mereka boleh tetapi mengapa sekarang tidak boleh? katanya ketika dihubungi malaysiakini bagi mengulas krisis yang sedang berlaku antara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri itu.
Syed Ali berkata, Dr Mahathir mungkin telah melakukan kesalahan tetapi Abdullah juga bukan seorang yang sempurna.
Dr Mahathir juga mungkin bersalah kerana mencampuri urusan pentadbiran Abdullah yang baru berusia dua tahun itu.
Dr Mahathir tidak boleh menyamakan pencapaiannya yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dengan Abdullah yang baru memerintah negara ini, ujarnya.
Katanya, ramai rakyat yang tidak faham dengan apa yang berlaku di antara Dr Mahathir dan Abdullah dan ini mengundang pelbagai tafsiran terhadap kedua-dua pemimpin itu. 
Saya khuatir ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada perbalahan ini yang akan menyebabkan orang Melayu dan bangsa rugi, katanya lagi.
Orang tengah
Syed Ali juga menegaskan beliau bukan orang Dr Mahathir atau orang Abdullah tetapi amat menyanjung ketokohan kedua-dua pemimpin negara itu.
Ditanya mengenai peranan orang tengah untuk mendamaikan kedua-dua pemimpin itu, Syed Ali berkata, sesiapa yang menjadi orang tengah dalam krisis ini mesti mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua pemimpin itu bagi memastikan kehadirannya dapat diterima oleh Dr Mahathir dan Abdullah.
Kalau silap orang menanganinya, krisis tersebut akan berlanjutan dan ini merugikan negara dan boleh menjejaskan kestabilan negara, ujarnya.
Syed Ali bagaimanapun enggan mengulas mengenai kritikan keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz terhadap Dr Mahathir.
 Beliau sekadar meminta menteri kabinet jangan campur tangan dengan membuat komen tertentu kerana boleh menyebabkan isu ini semakin rumit.
Nazri baru-baru ini secara terbuka mengisytiharkan perang ke atas bekas Presiden Umno itu. Beliau telah meminta Dr Mahathir keluar dari Umno setelah bekas Perdana Menteri itu memberi ucapan dalam satu majlis anjuran laman web Malaysian Today yang turut dihadiri pemimpin PAS dan DAP di ibu negara minggu lalu.
|
Berita Terkini dalam SMS
Maxis users
- Taip SMS "BUY MKINIM" dan hantar ke "26000" (caj bulanan RM 5.00)
- Taip "BUY WMKINIM" dan hantar ke "26000" (caj mingguan RM 1.50)
Umobile users
- Taip "ON NW MKINIBM" dan hantar ke "28118" (caj bulanan RM 5.00)
|