Abang nafi Datuk Azhar Mansor sudah murtad

Azham Mansor, abang pelayar negara Datuk Azhar Mansor, menafikan adiknya itu telah murtad dan kini beragama Kristian.

Beliau juga menafikan khabar-khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa adiknya itu kini menetap di Australia dan giat menjalankan aktiviti memurtadkan orang Islam lain.

"Fitnah semuanya. SMS yang mengatakan Azhar sudah peluk agama Kristian dan telah banyak membaptiskan pelajar adalah tidak benar.

"Saya sebagai abang Azhar hendak menjelaskan bahawa SMS itu menipu. Saya amat sedih dan terkilan dengan tohmahan ini," katanya.

Azham, 56, yang ditemui pemberita di perkarangan gereja Lady of Lourdes di Ipoh semalam.

Menurut laporan Bernama, beliau pergi ke gereja tersebut bersama keluarganya kerana diberitahu sekumpulan umat Islam akan melalui upacara Baptism di gereja tersebut.

Urus perniagaan

Menurut beliau lagi, adik kandungnya itu sedang menguruskan perniagaannya di Langkawi.

"Saya pasti dan saya tahu adik saya. Dia seorang Islam. Tolonglah, jangan ganggu dia lagi.

"Memang perkara ini tidak wujud, ini menipu. Dia ada di Langkawi. Saya telefon bapa saya dan dia telefon Azhar yang mengatakan dia di Langkawi. Saya telefon bapa saya sebab saya hendak tahu apa hal semua ni," kata Azham yang kini menetap di Pasir Puteh.

Beliau berkata SMS itu disebarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab, yang ingin memburukkan nama Azhar dan keluarganya.

Azham berkata sebelum ini, adiknya pernah dilemparkan dengan pelbagai dakwaan berkaitan status Islamnya dan dikatakan memeluk agama Kristian selepas pulang dari pelayarannya mengelilingi dunia tanpa henti menggunakan kapal layar Jalur Gemilang pada tahun 1999.

Azhar tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksinya.



 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.