Cadangan penggabungan Kumpulan Utusan dengan New New Straits Times Press (NSTP) yang bakal menyaksikan parti utama pemerintah, Umno, memiliki secara langsung sebahagian besar media di Malaysia akan menjejaskan kebebasan akhbar, kata sebuah badan pemantau media.
Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Independen (CIJ), Sonia Randhawa menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan menggalakkan penggabungan pemilikan media itu, akan menjejaskan kebebasan bersuara di negara ini.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, CIJ bimbang penggabungan itu akan menghakis terus kebebasan bersuara yang sudahkan terhad di negara ini.
Menurutnya, kerajaan tidak mengendahkan hak rakyat terhadap kebebasan akhbar kerana ia menggunakan undang-undang seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 untuk menyekat kebebasan akhbar.
Berita mengenai penggabungan itu disiarkan dua hari lalu dan dilaporkan bahawa dua syarikat tersenarai itu akan diletakkan di bawah satu entiti.
Pada masa ini, Umno menguasai kira-kira 50 peratus kepentingan ekuiti dalam Utusan Melayu, yang menerbitkan akhbar harian bahasa Melayu Utusan Malaysia dan Kosmo.
Umno mengambil alih Utusan selepas pengarang dan wartawannya melancarkan mogok pada 1961.
Tiada keputusan konkrit
Bagaimanapun, penguasaan parti itu ke atas NSTP adalah melalui syarikat nominee seperti Media Prima, yang memiliki 43 peratus pegangan dalam NSTP.
NSTP menerbitkan akhbar harian bahasa Inggeris New Straits Times dan Malay Mail serta akhbar harian bahasa Melayu Berita Harian dan Harian Metro.
Penggabungan tersebut juga mungkin membuka peluang kepada parti pemerintah untuk menguasai secara langsung kesemua stesen TV swasta di negara ini TV3, ntv7, 8TV dan Channel 9 yang kini dimiliki oleh Media Prima.
Bagaimanapun, menurut Bloomberg, Kumpulan Utusan berkata, pihaknya sedang menerokai pelbagai cadangan dan belum membuat sebarang keputusan mengenai kemungkinan penggabungan tersebut.
Pihak syarikat belum membuat sebarang keputusan mengenainya dan akan segera mengumumkannya apabila ia dimuktamad dan diluluskan, katanya.
NSTP juga dilaporkan membuat ulasan yang sama dan katanya, ia juga sentiasa berusaha mencari jalan untuk meningkatkan nilai syarikat, tetapi tiada rancangan konkrit dicapai dengan mana-mana pihak.
Berita mengenai cadangan penggabungan antara NSTP dengan Utusan muncul ketika berlaku satu lagi perkembangan terbaru mengenai media pengambilalihan akhbar bahasa Cina Nanyang Siang Pau dan China Press oleh jutawan balak dan media, Tan Sri Tiong Hiew King bulan lalu.
Tiong juga menguasai akhbar bahasa Cina Sin Chew Daily dan Guangming Daily. Berita asal