HOT TOPICS
coming soon
|
|
|
|
|
Utama Berita Kolum Surat Video Voize Iklaneka Mobilekini Buku SMS Arkib Hartanah 388 CAMPAIGN
Perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaarriibuu 2008
Jan 5, 07 11:15am
Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu didengar selama empat minggu mulai 10 Mac 2008.

Perbicaraan kes tersebut melibatkan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang dituduh bersubahat dengan dua anggota polis membunuh model tersebut.

Abdul Razak, 46, kemudian dibawa untuk ditahan di penjara setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk K.N. Segara hari ini enggan menerima permohonan lisan peguambela Wong Kian Kheong supaya Abdul Razak dibebaskan dengan bon jaminan.

Menurut laporan Bernama, Segara meminta Wong memfailkan permohonan rasmi bagi tujuan itu. Abdul Razak sebelum ini dibebaskan dengan bon jaminan, dengan syarat dia mendepositkan RM1 juta atau sekuriti yang bernilai setara dengannya. Bon jaminannya tamat hari ini.

Abdul Razak dituduh bersubahat dengan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Konstabel Sirul Azhar Umar, 35, yang dituduh membunuh Altantuya.

Pada 23 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Kadir Musa membenarkan Abdul Razak dibebaskan dengan bon jaminan lisan RM1 juta.

Syarat tambahan

Pada 14 Disember lalu, kes itu disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam di mana Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Md Yassin membenarkan lanjutan jaminan ke atas Abdul Razak berserta syarat tambahan tambahan deposit RM1 juta atau sekuriti yang setara dengannya, berserta dua penjamin hingga hari ini.

Abdul Razak dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar melakukan pembunuhan yang berakhir dengan mayat Altantuya diletupkan dengan bahan letupan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, di antara jam 9.54 pagi dan 11.05 pagi 18 Oktober lalu. Alamat itu adalah alamat rasmi Malaysian Strategic Research Centre (MSRC) yang diketuai Razak.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober lalu.

Kematian Altantuya terbongkar apabila cebisan daging dan pakaiannya ditemui di kawasan hutan di Puncak Alam pada 7 November lalu.

Semua tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Halang jurugambar

Isteri penganalisa politik Abdul Razak Abdullah Baginda dilihat cuba menghalang jurugambar daripada mengambil gambar suaminya itu ketika dibawa ke lokap mahkamah.

Sebelum itu, mahkamah enggan menerima permohonan lisan oleh peguambela Wong Kian Kheong supaya Abdul Razak yang dituduh bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dibebaskan dengan bon jaminan.

Abdul Razak sebelum ini dibebaskan dengan bon jaminan, dengan syarat dia mendepositkan RM1 juta atau sekuriti bernilai setara dengannya. Bon jaminannya tamat hari ini.

Mazlinda Makhzan, sempat menyindir beberapa wartawan yang membuat liputan di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.

"Seronoklah sekarang? Seronok ye?" katanya kepada sekumpulan wartawan sebelum mengiringi Abdul Razak yang dibawa keluar dari bilik prosiding dengan tangan bergari oleh beberapa anggota polis.

Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi berkata beliau telah memaklumkan kepada keluarga Altantuya mengenai keputusan mahkamah dan mereka turut menyatakan hasrat untuk mengikuti perbicaraan kes itu kelak.


 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 10000+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner