Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan, semua cakap-cakap mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibangkitkan oleh pembangkang dalam kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok adalah fitnah semata-mata.
"Saya tahu takkanlah suami saya nak buat perangai yang tak senonoh. Bermacam-macam fitnah dilemparkan pada suami saya tetapi saya dan keluarga sentiasa berdoa supaya Tuhan kuatkan semangat untuk melalui semua itu.
"Apa yang dia (pembangkang) nak cakap biarlah dia cakap...mereka akan terima balasan dari Tuhan.
"Cuma saya nak nasihat pada semua, jangan dengar tuduhan yang tak baik yang dilemparkan kepada kami, parti, mahupun semua pemimpin kerajaan.
Takkan kita nak mengundi parti yang suka tabur fitnah kepada orang lain," katanya semasa berucap merasmikan Bengkel Rekacipta Aksesori Wanita anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor di Kuala Selangor hari ini.
Jangan dengar tohmahan
Menurut laporan Bernama, Rosmah berkata, beliau yakin suaminya adalah seorang pemimpin yang sentiasa menjaga nama baiknya dan keluarga.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, Rosmah berkata rakyat Malaysia janganlah mudah mendengar segala fitnah dan tohmahan yang tidak benar itu.
"Saya datang ke sini untuk pertahankan kewibawaan pemimpin Barisan Nasional dan semua pemimpin dalam kerajaan," katanya.
Beliau berkata, penduduk Ijok terutama kaum wanita datang berjumpa dengan beliau hari ini dan memberitahu yang mereka sentiasa menyokong BN.
Katanya, calon BN, K Parthiban adalah calon yang tepat, bertanggunjawab dan akan menunaikan tugasnya dengan baik dan ikhlas demi untuk penduduk Ijok.
Dalam pilihanraya kecil Ijok pada 28 April ini, Parthiban, 38, akan dicabar Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 61.
|