PKR akan awasi pengundi berusia lebih 100 tahun
Muda Mohd Noor
Apr 26, 07
6:17pm
Jentera pilihanraya Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta petugasnya mengawasi 31 pengundi yang dikesan berusia lebih 100 tahun dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.

Exco Angkatan Muda PKR, Zamil Ibrahim (foto) berkata, pihaknya mahu tahu siapakah pengundi lanjut usia terbabit kerana “31 orang berumur lebih 100 tahun dari 12,272 pengundi merupakan sesuatu yang luar biasa.”

"Pada hari mengundi Sabtu ini, petugas PKR di semua pusat saluran mengundi akan mengenalpasti pengundi yang berusia lebih 100 tahun itu," katanya ketika ditemui di Batang Berjuntai malam tadi.

Dalam pilihanraya kecil Ijok Sabtu ini, calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban dicabar oleh calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim. Pilihanraya Ijok diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk K Sivalingam pada 4 April lalu.

Zamil berkata, pihaknya juga mengesan ada pemilih ditukar tempat mengundi tanpa pengetahuan mereka.

"Ini menimbulkan persoalan bagaimana ia boleh berlaku, sedangkan SPR berkata, segala-galanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Zamil berkata, pihaknya kesal dengan provokasi dan gangguan berterusan yang dilakukan oleh Pemuda Umno terhadap perayu undi PKR sejak beberapa hari lalu.

Perayu diganggu

Beliau mendakwa, Pemuda Umno bukan sahaja mengganggu perayu undi lelaki, malah terhadap wanita seperti yang berlaku di Kampung Rantau Panjang Ahad dan Isnin lalu.

"Ini perbuatan yang tidak bermoral dan bertujuan untuk menakut-nakutkan perayu undi PKR daripada berkempen untuk Khalid," katanya.

Semalam kumpulan Khalid telah diserang oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali ketika mereka mengadakan kempen dari rumah ke rumah di Ladang Coalfield.

Dalam kejadian tersebut, Ketua PKR Kelang, P Krishnasamy cedera dipukul kumpulan lelaki terbabit menyebabkan bajunya koyak dan cermin matanya pecah.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Pilihanraya kecil PKR Ijok, S D Johari Mohd Yassin (foto) berkata, hari ini dan esok merupakan saat paling penting untuk menyakinkan pemilih supaya mengundi Khalid Sabtu ini.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman PKR dalam pilihanraya kecil sebelum ini, pengundi hanya menetapkan pilihan mereka dalam masa dua hari terakhir sebelum hari mengundi.


 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner