Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan bahawa kerajaan membayar komisen RM540 juta kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda atau membayar sebarang komisen kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, dalam perolehan kapal selam Scorpene.

Abdul Razak kini menghadapi tuduhan bersubahat dalam pembunuhan seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sambil menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas, kementerian itu berkata, perolehan kapal selam Scorpene dibuat melalui rundingan terus dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan Navantia (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

Kementerian itu juga menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, demikian menurut laporan Bernama.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bagi menjelaskan kenyataan parti politik tertentu yang mempersoalkan perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh ATM dan mendakwa perolehan kelengkapan ATM itu dilaksanakan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan, tidak telus dan membazir.

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum kelulusan diperolehi, rujukan akan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara.

Kementerian itu menjelaskan bahawa semua rundingan perolehan kelengkapan untuk keperluan ATM dibuat mengikut Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan itu menepati keperluan ATM, kata kenyataan itu.

Kapal selam Scorpene

Semua terma dan kelulusan untuk rundingan kemudian akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya ditandatangani selepas Kementerian Kewangan meluluskannya, tambahnya.

Mengenai perolehan kapal selam Scorpene, kenyataan itu berkata, Syarikat Perimekar Sdn Bhd diberi kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh selama enam tahun dan nilai kontrak itu ialah Euro 114.96 juta, yang dibayar secara berperingkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.

Perimekar dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd dan KS Ombak Laut Sdn Bhd.

Menurutnya, skop sokongan Perimekar ialah menyediakan kemudahan dan kelengkapan serta insurans kesihatan bagi 27 keluarga team projek di Perancis dan Sepanyol untuk enam tahun.

Syarikat itu juga menyediakan pejabat urusan dan kediaman bagi 156 krew kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanyol dan Perancis untuk empat tahun, membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak Euro 50 sehari bagi seorang untuk tempoh tiga tahun pertama dan Euro 60 sehari seorang pula untuk tiga tahun kedua.

Perimekar juga membiayai kos penerbangan pergi-balik setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia setiap empat bulan (tiga kali setahun) serta lain-lain keperluan pasukan projek kapal selam di Perancis dan Sepanyol, tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan koordinasi pula antaranya melibatkan tanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program "offset", menyelaras latihan krew kapal selam dan penyediaan laporan koordinasi setiap enam bulan.

Kementerian itu juga menjelaskan bahawa jumlah kontrak sebanyak Euro 114.96 juta bukan keuntungan bersih milik syarikat Perimekar Sdn Bhd, tetapi ia meliputi segala pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung seperti yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.

Sukhoi SU30MKM

Mengenai perolehan Sukhoi SU30MKM pula, kementerian menjelaskan perolehan pesawat itu adalah menerusi rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik Rusia.

Rundingan terus ini, katanya, adalah selari dengan dasar negara Rusia dan negara-negara lain yang mempunyai polisi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan.

Semua kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan ditandatangani oleh wakil Kementerian bagi pihak kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat prinsipal asing, tambahnya.

Perolehan pesawat ini juga, kata kenyataan itu, mematuhi Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Ia menjelaskan, syarikat Rosboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini dan sebarang urusan perniagaan antara syarikat itu dengan syarikat tempatan yang dilantik adalah urusan perniagaan semata-mata dan tidak melibatkan kerajaan Malaysia.

Menerusi penjelasan itu, kata kenyataan tersebut, kementerian itu berharap semua pihak akan memahami keadaan sebenar dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap ATM, Kementerian Pertahanan dan kerajaan Malaysia.