BN kekalkan kerusi Ijok dengan majoriti 1,850 undi
Apr 28, 07 7:19pm
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dengan majoriti 1,850 undi.

Calon BN, K Parthiban memperolehi 5,884 undi manakala calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim, mendapat 4,034 undi.

Klik untuk keputusan penuh.

Dengan itu, calon BN menang dengan tambahan majoriti 201 undi, berbanding dengan 1,649 undi dalam pilihanraya umum 2004.

Keputusan itu menunjukkan undi yang diperolehi oleh BN dan PKR masing-masing bertambah daripada yang diperolehi pada 2004 di mana BN mandapat 5,213 undi manakala PKR mendapat 3,564 undi.

Ini bermakna BN berjaya menambah undi sebanyak 671 undi manakala PKR menambah sebanyak 470 undi.

Dalam pilihanraya umum 2004, calon BN, K Sivalingam menang dengan kelebihan 1,649 undi mengalahkan calon PKR, Abdol Rahman Moharam, dan calon Bebas, Mohamed Shariff Nagoorkani.

Selepas proses pengundian tamat jam 5 petang tadi, 83.88 peratus atau 10,195 pengundi telah keluar mengundi. Peratusan tersebut adalah yang tertinggi dalam sejarah pilihanraya kecil di Malaysia.

Keputusan hari ini menunjukkan BN menang di lapan daripada sembilan pusat pengundian dalam DUN Ijok.

'Cabar keputusan'

BN memang di pusat pengundian Sungai Darah, Jaya Setia, Bukit Badong, Batang Berjuntai Bestari Utara, Batang Berjuntai Bestari Selatan, Simpang Ijok dan Tuan Mee.

PKR hanya menang di kawasan majoriti Melayu - Kampung Ijok. Bagaimanapun, PKR tewas di tiga lagi kawasan majoriti Melayu – Jaya Setia, Bukit Badong dan Simpang Ijok.

Ini bermakna pengundi Melayu dan pengundi Cina mengundi BN, dan tidak beralih kepada pembangkang seperti yang dijangkakan sebelum ini.

Bagaimanapun, berdasarkan keputusan terperinci, didapati terdapat 143 kertas yang tidak dikembalikan dan 142 daripadanya adalah di pusat pengundian Pekan Berjuntai Bestari Utara. Manakala satu lagi dari pusat pengundian Jaya Setia.

Pilihanraya kecil ini juga dicemari oleh beberapa kejadian yang tidak diingini termasuk kejadian petugas PAS dipukul dan kejadian menahan dua buah bas yang membawa penyokong Umno dari Perlis.

Sementara itu, Khalid menyifatkan pilihanraya kecil Ijok sebagai yang paling ‘kotor’ dalam sejarah politik negara ini.

Sehubungan itu, katanya, PKR akan mencabar keputusan pilihanraya kecil hari ini serta mengkaji mengenai isu rasuah dan pengundi hantu.

Bagaimanapun, katanya, beliau amat menghargai bantuan yang dihulurkan rakan-rakan parti pembangkang yang lain seperti PAS, DAP serta badan bukan kerajaan.

“Saya juga memahami dilemma penduduk Ijok mengenai hakikat bahawa jika mereka memilih pembangkang, mereka tidak akan mendapat sebarang pembangunan. Sikap mengugut ini adalah satu cara yang tidak demokratik dalam menguruskan sumber-sumber rakyat,” katanya



 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner