Cawangan PTPTN di KL Sentral tingkat kutipan balik pinjaman

Jumlah kutipan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meningkat sejak ia membuka cawangan di KL Sentral.

Sejak dibuka Februari lalu, cawangan PTPTN di KL Sentral mendapat sambutan yang baik dari para peminjam.

Lokasinya memudahkan mereka berurusan dengan lebih cepat kerana kemudahan pengangkutan awam, khususnya Putra LRT.

Penolong Pengurus Kanan PTPTN, Azmir Husni Mohamed Nor berkata, cawangan KL Sentral dikunjungi 20 hingga 30 peminjam sehari yang ingin membuat bayaran balik ataupun bayaran deposit atau datang untuk berbincang.

Sebelum ini, katanya, peminjam terpaksa ke Damansara Heights di ibu negara untuk membuat bayaran.

"Lokasinya tidak begitu sesuai kerana peminjam mengadu mereka menghadapi masalah tempat letak kenderaan dan pengangkutan awam," katanya ketika ditemui semalam.

Menurut seorang peminjam yang hanya mahu dikenali sebagai Su, dia mendapat tahu mengenai pembukaan cawangan baru PTPTN di KL Sentral melalui rakannya.

"Lebih mudah dan cepat untuk datang ke KL Sentral dengan adanya Putra LRT untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN," katanya.










 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.