Rais mahu siasatan terhadap Namewee diteruskan
Ogos 16, 07 1:28pm
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu siasatan diteruskan terhadap Wee Meng Chee, 24, pelajar yang menghina lagu kebangsaan dan menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia, walaupun dia telah memohon maaf kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia.

Rais, yang tidak bersetuju kes itu ditutup walaupun setelah permohonan maaf dibuat, berkata siasatan harus diteruskan bagi mengelak perkara yang sama berulang, demikian menurut laporan Bernama.

"Negara ini mempunyai undang-undang dan peraturan, dan kita harus akur dengan prosesnya," kata Rais yang mahu hasil siasatan itu diserahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan sama ada perbuatan pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Awam sebuah universiti di Taiwan itu menyalahi mana-mana peruntukan dalam Akta Lagu Kebangsaan.

"Sebagai orang biasa, walaupun ahli kabinet, kita tidak boleh memutuskan sama ada sesuatu perkara itu adalah kesalahan di bawah mana-mana undang-undang (kerana) kita mempunyai pihak pendakwa raya yang bertauliah bagi menentukan sama ada sebarang tindakan harus diambil berdasarkan hasil siasatan," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pameran dan Buku Malaysia @ 50 di Balai Seni Lukis Negara hari ini.

Sebelum itu, Rais menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan fotografi kebangsaan : Malaysia @ 50 Sehari Dalam Kehidupan Di Malaysia, selain melancarkan buku Malaysia @ 50 yang memaparkan foto sejak tahun 1950an hingga kini bagi mengimbau kembali perjalanan umur 50 tahun negara.

Wee menimbulkan kontroversi dan menerima banyak kritikan apabila beliau mengubahsuai lagu Negaraku dengan menyanyikannya dalam rentak rap menggunakan bahasa lucah dan kasar dalam klip video selama lima minit 32 saat yang disiarkan menerusi sebuah laman web baru-baru ini.

Dua hari lalu dia dilaporkan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia melalui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang juga Naib Presiden MCA.

Sudut positif

Sementara itu, Bernama juga melaporkan Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin sebagai berkata, berkata beliau melihat isu seorang penuntut Malaysia di sebuah universiti di Taiwan menghina lagu kebangsaan, Negaraku, dari satu sudut positif kerana ramai daripada mereka yang melahirkan rasa marah terdiri orang bukan Melayu.

"Kalau kemarahan itu datangnya dari orang Melayu ia adalah sesuatu yang biasa dan akan dianggap perkauman (tetapi) penyataan kemarahan itu datang dari orang India dan orang Cina," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengkisahan sejarah media massa di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.

Tindakan Wee Meng Chee, 24, pelajar komunikasi massa di Universiti Ming Chuan, Taiwan yang menghina lagu `Negaraku' dengan menyampaikannya dengan irama rap, selain menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, telah menimbulkan kemarahan rakyat negara ini, demikian menurut laporan Bernama.

Zainuddin berkata, walaupun isu itu satu perkara yang negatif kerana melibatkan sensitiviti kaum tetapi secara tidak langsung ia telah mengukuhkan lagi semangat kenegaraan rakyat.

"Walaupun ia adalah perkara negatif yang ditimbulkan di saat kita ingin merayakan kemerdekaan yang ke-50 tetapi saya lihat ada satu perkembangan positif kerana rata-rata yang marah dengan isu itu datangnya dari orang bukan Melayu," katanya.

Zainuddin berkata, perkara yang timbul itu juga secara tidak langsung telah menyedarkan dan menyatukan rakyat negara ini dengan satu identiti dan semangat cintakan negara.

"Lagu Negaraku adalah kepunyaan rakyat negara ini secara bersama," katanya.

Majlis pengkisahan sejarah media massa anjuran Arkib Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, disertai tokoh-tokoh media dan penyiar tempatan terdiri Tan Sri Dol Ramli, Tan Sri Mazlan Nordin dan Datuk A Samad Said.

 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner