Most Read
Most Commented
Read more like this

Perintah Am yang melarang kakitangan awam kumpulan A mengambil bahagian secara aktif dalam parti politik akan dipinda, menurut sumber Jabatan Perkhidmatan Awam hari ini.

"Pindaan masih di peringkat perbincangan," kata sumber-sumber jabatan itu kepada malaysiakini , apabila mereka diminta mengulas keputusan Umno membenarkan ahli parti itu daripada kumpulan A bertanding dalam pemilihan bahagian Mac depan.

Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilaporkan berkata "semua anggota Umno mempunyai hak sama mengikut perlembagaan parti untuk memegang jawatan."

Perkara 21 (1) Perintah Am untuk Kakitangan Awam (Perilaku dan Disiplin) 1993 melarang pegawai dalam Kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional mengambil bahagian secara aktif dalam parti politik.

Bagaimanapun berdasarkan Perkara 21 (5), kakitangan awam dibenarkan menjadi anggota biasa dan perlu memberitahu ketua masing-masing mengenai penyertaan dalam parti.

"Larangan kerajaan (itu) perkara lain yang tidak membabitkan perlembagaan Umno," kata Muhyiddin, seperti dilaporkan.

Satu sumber JPA memberitahu, "pindaan ini disesuaikan mengikut keadaan." Sementara satu sumber lain menegaskan pindaan-pindaan lain dalam Perintah Am itu telah lama dicadangkan dan baru kini perbincangan hendak dimulakan.

Bagaimanapun sumber-sumber itu tidak menyebut tarikh pindaannya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Abdul Halim Ali tahun lalu dilaporkan berkata larangan terhadap kumpulan A itu kekal. Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Umno untuk melibatkan kumpulan pegawai itu dalam pindaan perlembagaannya 18 November lalu.

Menurut sumber, kakitangan awam yang dibenarkan terlibat dalam kegiatan politik perlu mematuhi syarat-syarat seperti kegiatan politik hendaklah dilakukan di luar waktu pejabat dan tidak mengganggu tugas rasmi.

Seorang lagi Naib Presiden Umno Tan Sri Muhammad Mohd Taib menyokong pandangan Muhyiddin bahawa pilihan untuk terlibat dalam politik terserah kepada individu kakitangan terbabit.

Guru dan pegawai daerah

Muhammad berkata, jumlah besar golongan cerdik pandai Melayu dalam kumpulan itu boleh memanfaatkan peluang terlibat dengan Umno selepas pindaan perlembagaan parti itu. Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Datuk Shahrir Samad pula menegaskan pindaan itu membuka peluang kepada guru dan pegawai daerah menyertai dan terlibat secara aktif menggerakkan Umno.

"Pada masa lalu, guru merupakan golongan aktif (dalam Umno). Peraturan sebelum ini (Perintah Am) menghalang mereka. Jadi apa pilihan yang mereka ada," kata Muhammad, menyokong Shahrir.

Menurut laporan The Star hari ini Halim dilaporkan akan melepaskan jawatannya bulan depan untuk dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan Tan Sri Sallehuddin Mohamed yang tamat perkhidmatan 31 Januari ini.

Tempoh perkhidmatan Ketua Setiausaha Negara itu sepatutnya berakhir Julai depan.

Mutakhir: Laporan Bernama lewat petang ini menyebutkan Ketua Pengarah JPA Tan Sri Samsudin Osman dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baru bagi menggantikan Tan Sri Abdul Halim Ali.

ADS