Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MTUC tuntut Dr Fong tarik balik amarannya
Diterbitkan:  Oct 22, 2007 2:51 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kesal dengan amaran Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn semalam bahawa polis boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang mengadakan piket berhubung pertikaian kesatuan sekerja dengan majikan.

"Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, MTUC berpendapat, tidak perlu ada sesuatu pihak, lebih-lebih lagi pihak kerajaan, mengugut mana-mana kesatuan sekerja yang menuntut kenaikan gaji yang munasabah lebih-lebih lagi dalam konteks pertikaian perusahaan yang masih belum selesai," kata Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Fong (foto) itu seperti yang dilaporkan dalam akhbar Berita Minggu semalam.

Menurutnya, dalam isu ini, kedua pihak - Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube) dan Persatuan Bank Perdagangan Malaysia (MCBA) - tidak dapat menyelesaikan pertikaian berhubung tuntutan Nube yang mewakili 30,000 ahlinya berkaitan kenaikan gaji sebanyak 30 peratus, mengekalkan dua bulan bonus dan pemberian Cola.

"Berdasarkan Seksyen 40 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, tidak ada sebarang peruntukan yang melarang ahli kesatuan sekerja meneruskan piket meskipun kes tuntutan telah dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan," kata Syed Shahir dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, MTUC menggesa menteri berkenaan menarik balik dengan segera amaran beliau itu.

Piket diteruskan

Syed Shahrir (foto) juga berharap amaran bagi menakut-nakutkan golongan pekerja sedemikian tidak berulang di masa-masa yang akan datang.

Sebelum ini MCBA dilaporkan bersetuju memberi kenaikan gaji 30 peratus tetapi dua bulan bonus yang diberi selama ini akan ditarik balik.

Bagaimanapun, Nube tidak bersetuju dengan syarat tersebut kerana ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada kakitangan bank.

Setiausaha Agung Nube J Solomon pula dilaporkan berkata piket akan diteruskan selepas cuti hari raya sehingga pihak MCBA menerima tuntutan Nube.

Beliau dilaporkan berkata bahawa tuntutan kenaikan gaji itu bukan bertujuan untuk kemewahan tetapi hanya untuk kehidupan yang lebih selesa.

Katanya, Nube turut menuntut pemberian Cola kerana ini adalah masa yang sesuai bagi membantu bebanan kakitangan bank, yang menurutnya hanya dibayar RM662 atau RM995 untuk gaji pokok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS