Laporan Ketua Audit: BPR digesa turut siasat menteri

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengalu-alukan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa pegawai-pegawai kerajaan yang didakwa terbabit dalam penyelewengan yang didedahkan dalam Laporan Audit Ketua Audit Negara 2006.

Bagaimanapun, angkatan muda PKR itu juga mahu BPR turut menyiasat dan mendakwa menteri-menteri yang berkenaan sebagaimana yang disabitkan dalam laporan tersebut.

Sudah sampai masanya BPR tidak membudayakan 'penangkapan ikan bilis' semata-mata dengan melepaskan jerung yang akan terus membaham harta rakyat di masa akan datang dengan imuniti kuasa yang ada pada mereka," kata Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa.

Menurutnya, kenyataan Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, bahawa BPR tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyiasat dakwaan penyalahgunaan perbelanjaan kementerian dan jabatan kerajaan, wajar didahului dengan menjalankan siasatan ke atas menteri-menteri yang terlibat, termasuklah Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, dan Datuk Seri Shahrizat Jalil.

"Ini adalah penting memandangkan setiap perlaksanaan pembelian dan perbelanjaan jabatan serta kementerian tidak boleh dilaksanakan tanpa pengesahan dan kelulusan daripada pihak menteri sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, katanya, AMK telah mengemukakan laporan rasmi kepada BPR pada 13 September lalu.

'Tarik tali'

Laporan itu, katanya, antara lain menggesa penyiasatan dijalankan ke atas Azalina dan Hishamuddin berikutan 'tarik tali' antara kedua menteri tersebut berikutan isu penyelewengan pembelian peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang berjumlah RM 8.39 juta yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

Oleh itu, kata Fariz, adalah wajar bagi BPR mengheret menteri ke muka pengadilan sekiranya mereka didapati bersalah.

Langkah itu, katanya, demi membuktikan bahawa BPR tidak mengamalkan pendakwaan terpilih dengan hanya mengheret pegawai jabatan tetapi 'tersipu malu' untuk mengheret Menteri dan pegawai tertinggi kerajaan.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa BPR telah mendakwa 10 orang termasuk sembilan kakitangan kerajaan di mahkamah di tiga negara semalam atas tuduhan yang berkaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Mereka termasuk yang berjawatan pengarah dan penolong pengarah di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka dituduh atas pelbagai kesalahan, termasuk membuat tuntutan palsu dalam pembelian kamera digital serta pecan amanah wang bantuan kebajikan masyarakat kepada 22 penama yang telah meninggal dunia.


 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.