Polis trafik hari ini menafikan pihaknya memberikan potongan sehingga 90 peratus bagi kesalahan-kesalahan lalu lintas berkuat kuasa Isnin lalu, seperti dilaporkan akhbar.
"Tidak ada diskaun, (laporan) mereka (akhbar) mengelirukan," kata Ketua Trafik Wilayah Persekutuan, Senior Asisten Komisioner II Ahmad Bahrin Idrus kepada malaysiakini , apabila diminta mengulas perkara itu.
Hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim dilaporkan berkata kabinet Rabu lalu memutuskan polis perlu menghentikan tindakan memberikan potongan kepada pesalah lalu lintas.
Dalam laporan itu di muka depan akhbar Nanyang Siang Pau , beliau menjelaskan tidak terdapat peruntukan undang-undang bagi polis berbuat demikian.
Rais juga dilaporkan berkata, diskaun itu tidak adil kepada pengguna kenderaan yang telah menjelaskan saman masing-masing.
Bagaimanapun Ahmad menjelaskan satu kadar tetap sebanyak RM100 telah dipersetujui bagi kesalahan memandu melebihi had laju. Kadar tetap itu diperuntukkan bermula awal minggu ini sehingga 28 Februari depan, katanya.
Selepas tempoh itu kadar saman itu akan dikekalkan seperti biasa, tambah Ahmad.
Sebelum ini bagi kesalahan tersebut, saman dikenakan bergantung kepada skala yang telah ditetapkan sehingga maksima RM300.
Apabila ditanya berhubung sambutan orang awam terhadap pembayaran saman, beliau mengulas "sama sahaja" apabila dibandingkan reaksi mereka ketika Ops Warta dijalankan menjelang musim perayaan Disember lalu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bagaimanapun mempertahankan tindakan polis menetapkan kadar saman tertentu bergantung kepada kesalahan-kesalahan trafik yang dilakukan. ([#1] Reduction in traffic summon not a discount: Abdullah [/#], 19 Jan)
"Polis mempunyai garis panduan dalam menentukan jumlah saman dan apabila ada pihak membuat kiraan, itu (punca) yang nampak macam diskaun," kata beliau, yang juga Menteri Dalam negeri, selepas perjumpaan sambutan Hari Raya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
