PKR Kes penculikan kanak-kanak semakin membimbangkan

Kejadian penculikan kanak-kanak yang semakin meningkat dan membimbangkan sejak kebelakangan ini, kata Naib Ketua Wanita PKR, Haniza Talha.

Katanya, keadaan itu memberi isyarat bahawa polis gagal memberi jaminan keselamatan kepada orang ramai.

Lebih membimbangkan lagi, kata Haniza, kerana ia berlaku di tempat awam dan pada waktu siang.

"Sehubungan itu, kami meminta polis menjalankan tugasan mereka dengan serius untuk membanteras jenayah," katanya dalam sidang akhbar mingguan PKR di ibu negara hari ini.

"Daripada 100,000 pegawai polis, hanya enam peratus atau 6,000 anggota terbabit dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) manakala selebihnya menjalankan tugas pentadbiran," katanya.

Haniza merujuk kepada kejadian culik Sharlinie Mohd Nashar yang berlaku di kawasan permainan di Taman Medan, Rabu minggu lalu.

Katanya, kawasan Taman Medan terlalu padat dengan penduduk menyebabkan penduduk tidak kenal antara satu sama lain.

'Tumpuan penjenayah'


"Hanya ada satu pondok polis iaitu di PJS2 yang dibina setelah tercetusnya isu perkauman di kawasan tersebut pada 2001.

"Kawasan tersebut kekurangan rondaan polis dan ia menjadi tumpuan penjenayah," katanya.

Haniza juga mendakwa, apabila berlaku jenayah, barulah polis membuat tangkapan dan menghebahkannya kepada media tetapi ini tetap tidak menakutkan penjenayah.

"Saya meminta pihak polis menghentikan amalan sedemikian kerana ia tidak menakutkan penjenayah," katanya lagi.

Beliau berkata, pemasangan litar televisyen tertutup (CCTV) di kawasan awam juga kurang berkesan kerana apabila cuaca gelap objek menjadi kabur.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua mencadangkan kerajaan dan syarikat komunikasi menggunakan telefon bimbit khusus untuk kanak-kanak bagi memudahkan mereka menghubungi ibu bapa apabila berlaku kecemasan.

Katanya, telefon sedemikian rupa sudah banyak digunakan di negara-negara Asia seperti China, Taiwan dan Hong Kong.

"Mengikut pasaran semasa, harga telefon bimbit kanak-kanak sekitar RM300 satu unit," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.