Manifesto PAS: Annuar, Idris tertekan, kata Salahuddin
Jan 22, 08 7:49pm
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) menyifatkan pandangan sinis dua pemimpin Umno - Datuk Seri Annuar Musa dan datuk Seri Idris Jusoh - mengenai manifesto PAS menunjukkan "mereka sangat tertekan dengan cadangan PAS untuk membela kepentingan rakyat".

Lantaran itu, Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, DPP tidak hairan apabila kedua-dua Pengerusi Umno Kelantan dan Terengganu memberi ulasan negatif terhadap manifesto PAS yang menjanjikan kebajikan yang lebih selesa untuk rakyat.

"Annuar walaupun diwar-warkan tidak bertanding di DUN dan Idris pula akan dibawa ke pusat, yang kedua-duanya melepaskan peluang mereka menjadi menteri besar, tetapi bimbang jika PAS menguasai Kelantan dan Terengganu pilihanraya akan datang," kata beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Krian.

"Pergolakan politik di Terengganu sudah diketahui umum sehingga Idris terpaksa menyatakan kesediaannya berpindah ke pusat, manakala di Kelantan ketinggalan satu kerusi belum memberikan kedudukan selesa kepada Umno.

"Kerana itu, apabila PAS mengemukakan sesuatu yang bermakna untuk rakyat, mereka menjadi amat tertekan," kata Salahuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata menerusi manifesto 'negara kebajikan' PAS bagi menghadapi pilihanraya umum ke-12, rakyat miskin, terutama warga emas akan diberi elaun sarahidup bagi menampung kehidupan mereka setiap bulan.

Antara yang dijanjikan parti pembangkang itu ke arah mewujudkan negara kebajikan ialah cadangan mengurangkan harga minyak petrol sekurang-kurangnya 30 sen dari harga semasa dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pembelajaran percuma


Selain itu, PAS juga berjanji menawarkan sistem pembelajaran percuma tanpa dikenakan bayaran tambahan di sekolah rendah dan menengah bagi semua aliran serta memastikan perkhidmatan kesihatan percuma di hospital-hospital kerajaan.

Ketika mengulas mengenainya, Annuar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas dan juga Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang), mencabar PAS supaya mengubah Kelantan menjadi negeri kebajikan terlebih dahulu sebelum berangan-angan mewujudkan konsep negara kebajikan di Malaysia.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, tiada apa yang percuma diberi oleh kerajaan PAS Kelantan berbanding kerajaan pusat yang lebih mementingkan kebajikan rakyat.

Beliau juga dilaporkan berkata, bagi membuktikan PAS mengambil berat kebajikan rakyat, parti itu sekurang-kurangnya perlu bertindak menurunkan bayaran letak kenderaan di bandar ini dan beberapa bandar kecil lain. - yang menurutnya yang tertinggi di negara ini.

Menurut Annuar lagi, PAS juga harus menurunkan beberapa cukai lain seperti cukai pintu, cukai tanah, cukai kepala bakul di pasar-pasar dan bayaran memproses permohonan tanah yang menyusahkan rakyat.

Sementara itu, Salahuddin berkata, pemerintahan 17 tahun PAS di Kelantan telah membuktikan parti itu berupaya memerintah dan membela kebajikan rakyat, bahkan dasar-dasar PAS bukan ditiru oleh Kerajaan BN.

Yang terbaru, katanya, apabila PAS memperkenalkan Takaful Kifalah dan Takaful Armalah untuk membela warga emas dan ibu tunggal, Umno Kelantan cuba meniru sama.

Lebih murah di K'tan

"Isu yang ditimbulkan oleh Annuar Musa tentang bayaran tempat letak kereta adalah tidak relevan kerana di seluruh negara kerajaan tempatan mengenakan bayaran.

"Di Selangor, kebanyakan PBT mengenakan RM0.50 untuk sejam, manakala tempat letak kereta swasta mencecah hingga RM3.00 sejam. Apakah Annuar cuba menafikan tentang bayaran yang dikenakan oleh PBT di negeri yang dikuasai oleh BN?," kata Salahuddin.

Menurutnya, di negeri-negeri lain selain Kelantan, penggunakan kenderaan bukan sahaja terpaksa membayar tempat letak kereta, tetapi terpaksa membayar tol yang tinggi dan juga petrol yang mahal.

"Cukai-cukai yang dikenakan di Kelantan jauh lebih murah berbanding negeri yang diperintah oleh BN. Rakyat Kelantan telah melihat dan merasai bagaimana kebajikan mereka terjaga di Kelantan.

"Bahkan, kakitangan kerajaan negeri tidak dikenakan caj untuk pinjaman, di samping pengharaman riba dalam sistem kewangan melalui perbankan Islam dan ar-rahn. Bukankah bank-bank konvensional terpaksa mewujudkan sistem perbankan tanpa faedah apabila Kelantan tidak membenarkan mereka menyewa premis di negeri itu," katanya lagi.

Di Terengganu, tegas Salahuddin, telah terbukti bahawa PAS telah menunaikan janjinya untuk menghapuskan tol, cukai pintu dan cukai bakul pada 1999.

PAS juga, tambahnya, telah mewujudkan bantuan pendidikan kepada anak-anak Terengganu, selain menubuhkan pusat-pusat pengajian dan mengagihkan tanah kepada rakyat.

Turunkan harga minyak

"Malangnya, usaha-usaha PAS untuk membela hak rakyat telah diselewengkan oleh Umno dengan mengarahkan Petronas menarik balik bayaran royalti yang berjumlah RM1 bilion ketika itu. Siapa yang merompak wang rakyat, PAS atau Umno?" katanya.

Di Kelantan, katanya, hal seperti itu diakui sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed bahawa Umno yang mendesak kerajaan pusat supaya menyekat bantuan kepada Kelantan.

"Dalam keadaan yang disekat dan dihalang oleh kerajaan Pusat, Kelantan dan Terengganu yang terkenal miskin itu, masih boleh menjaga kepentingan rakyat. Jika PAS menguasai Malaysia, sudah tentu kekayaan negara dapat dinikmati oleh rakyat dengan lebih meluas lagi.

"Tidak pelik bagi PAS/Barisan Alternatif (BA) untuk menurunkan harga petrol, memberikan pendidikan dan kesihatan percuma serta menghapuskan ISA kerana wang negara tidak dibazirkan untuk kroni.

"Umno cepat-cepat melahirkan rasa bimbang negara akan bangkrap jika 'bail out' rakyat, sedangkan mereka telah membazirkan begitu banyak wang rakyat untuk kroni-kroni mereka," tambahnya.

Menurut Salahuddin, mereka membangkitkan isu-isu kecil yang tidak relevan untuk menakutkan rakyat, sedangkan rakyat sudah cukup tertekan di bawah pentadbiran BN.

"Rakyat perlu berubah jika mahu kebajikan mereka terbela. PAS membuka peluang ini kepada rakyat. Jika rakyat tidak berubah, siri-siri kenaikan harga petrol, minyak masak, tepung, yuran sekolah, tambang bas, tol dan lain-lain akan terus berlaku," katanya.
 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner