Majlis Peguam: Bukan setakat mengatur pelantikan hakim
Chua Sue-Ann Jan 23, 08 9:01am
Suruhanjaya diraja yang menyiasat skandal klip video Lingam hari ini mendengar hujah para peguam mengenai terma rujukannya berhubung keterangan yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan pelantikan kehakiman pada 2001.
Keterangan yang dihujahkan itu berkaitan dengan butir-butir percutian peguam Datuk VK Lingam dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin di New Zealand pada Disember 1994 yang dikatakan menunjukkan hubungan akrab antara mereka berdua.
Semalam, Lingam - peguam yang didakwa individu dalam klip video yang dirakam secara rahsia pada tahun 2001 membincangkan pelantikan hakim-hakim - enggan menjawab soalan lanjut mengenai percutian tersebut.
Peguamnya, R Thayalan berhujah bahawa keterangan berhubung percutian tersebut 'tidak relevan' dan mesti dibuang dari rekod siasatan suruhanjaya tersebut.
Prosiding hari ini diteruskan dengan para peguam berhujah mengenai relevannya percutian di New Zealand itu dengan lima terma rujukan siasatan suruhanjaya tersebut.
Peguam Robert Lazar yang mewakili Majlis Peguam Malaysia berhujah bahawa isu yang disiasat oleh suruhanjaya tersebut tidak hanya terhad kepada pelantikan hakim-hakim sahaja tetapi juga membabitkan kontek sepenuhnya perbualan dalam klip video tersebut.
“Pengaturan kes-kes bersangkut paut dengan pengaturan pelantikan hakim. (Kita) tidak boleh memisahkan (isu-isu ini)," tambahnya.
“Saya akan menjadi tidak sopan dan berkata pengaturan hakim-hakim, pengaturan pelantikan dan perbualan itu juga berkaitan dengan pengaturan keputusan kes-kes. Itulah maksud perbualan tersebut.
“Kita tidak boleh tutup mata memikirkan bahawa hanya hakim-hakim yang diatur dan ia berakhir di situ," katanya.
'Mengatur kes'
Lazar berhujah demikian apabila merujuk kepada terma rujukan ketiga suruhanjaya tersebut iaitu untuk menentukan kebenaran perbualan yang dirakam dalam klip video tersebut.
Menurutnya, terdapat beberapa perkara khusus yang dirujuk dalam perbualan telefon tersebut yang menunjukkan ada niat untuk mempengaruhi pelantikan hakim-hakim, mendapat layanan istimewa di bawah hakim-hakim tertentu dan mendapat layanan kurang baik di bawah hakim-hakim lain.
Apabila anggota suruhanjaya itu, Datuk Steve Shim bertanya sama ada Lazar cuba memperluaskan skop siasatan tersebut, peguam itu berkata isu yang dibahaskan itu bukan setakat pelantikan hakim.
“Apa yang kita lihat bukan (setakat) pelantikan hakim-hakim tetapi juga pengaturan kes-kes dan akibat-akibatnya yang lain," katanya.
Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, yang mewakili bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, juga mahu butiran mengenai percutian pada 1994 itu dibuang.
Kamarul memetik Akta Keterangan sebagai panduan mengenai apa yang boleh diterima, tetapi Shim memberitahunya bahawa suruhanjaya itu tidak terikat dengan akta berkenaan.
Peguam tersebut kemudiannya berkata, walaupun keterangan mengenai percutiaan di New Zealand itu mungkin menunjukkan keakraban antara dua pihak yang terbabit, tetapi ia juga tidak semestinya bermakna salahlaku kehakiman telah dilakukan.
Pada ketika itu, anggota suruhanjaya diraja, Datuk Mahadev Shankar mengingatkan Kamarul bahawa mungkin terdapat bukti-bukti penting lain yang belum dikemukakan kepada suruhanjaya tersebut.
Kamarul berkata, beliau bersikap terbuka terhadap kemungkinan terdapat bukti-bukti seterusnya yang menunjukkan hubungan antara Eusoff dan Lingam yang boleh membawa kepada berlakunya pengaturan dalam badan kehakiman.
“Saya sedar bukti belum muncul lagi tetapi apabila ia muncul, mungkin anggota suruhanjaya membuat inferens sewajarnya untuk memastikan ianya relevan," kata Kamarul.
Perdebatan hangat
Peguam Alex de Silva yang mewakili Loh Gwo Burne yang mengakui merakamkan klip video controversi tersebut pada 2001 - berkata beliau menyokong dikekalkan keterangan mengenai percutian di New Zealand kerana tidak ada bukti sebaliknya.
“Percutian di New Zealand menunjukkan keakrabannya... mungkin wujud tanggapan bahawa mereka masih akrab pada 2001 kecuali ada bukti yang menunjukkan sebaliknya," katanya.
Para peguam lain yang turut berhujah hari ini ialah peguam Puravalen (mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim), peguam Khoo Guan Huat (mewakili bekas Ketua Hakim Negara, Dzaiddin Abdullah), peguam Azhar Azizah Harun (mewakili pertubuhan sivil) dan peguam John Fang (yang mewakili adik lelaki Lingam - Thirunama Karasu.
Manakala pegum Zamani Ibrahim, Hazman Ahmad dan Mohamed Fauzi Mat Zin, yang mewakili Tun Eusoff Chin, akan menyampaikan hujah mereka pada hari Jumaat.
Peguam Wee Choo Keong, yang mewakili Thirunama, hari ini mengulangi percubaannya untuk membuat hujah lisan walaupun hujah bertulisnya telah ditolak oleh suruhanjaya tersebut selepas bertegang leher dengan pengerusi suruhanjaya itu, Haidar Mohamed Noor.
Shim menasihatkan Wee supaya mengemukakan hujah lisannya berdasarkan kepada bahagian-bahagian yang relevan dalam keterangan pelanggannya yang akan diberitahu oleh suruhanjay aitu bila tiba masanya. Berita asal