| Aru dijangka didakwa, yang lain dijangka dibebaskan |
Fauwaz Abdul Aziz
Jan 26, 08
6:28pm |
Daripada kira-kira 60 orang yang ditahan kerana menyertai perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), hanya Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan ditahan di lokap di Ibupejabat Polis Kuala Lumpur.
Ahli politik dan aktivis sosial itu dijangka didakwa atas tuduhan melanggar perintah mahkamah yang melarang perhimpunan itu diadakan hari ini.
Sehingga jam 10 malam ini, separuh daripada mereka yang ditahan itu, telah selesai memberi keterangan kepada polis. Mereka termasuk wartawan Malaysiakini, Syed Jaymal Zahiid. Mereka dijangka dibebaskan kemudian.
Tujuh orang telahpun dibenarkan pulang tetapi mereka masih berada di situ sebagai tanda bersatu dengan yang lain-lainnya.
Kira-kira 30 sedang memberi kenyataan kepada polis. Ia memakan masa kerana mereka mula memberi kenyataan pada hanya jam 8 malam.
Lebih 60 individu ditahan oleh polis berhampiran KLCC dan kompleks membelibelah Ampang Park sebelum berlangsungnya perhimpunan membantah kenaikan harga minyak anjuran Protes.
Protes dianggotai oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti pembangkang PAS, PKR, PSM dan DAP.
Polis mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai haram dan telah mendapatkan perintah mahkamah semalam untuk melarang, khususnya lima orang, daripada menyertainya.
Perintah mahkamah
Kira-kira 200 anggota polis berkawal di KLCC dan Ampang Park - kira-kira sama ramainya dengan mereka yang datang untuk menyertai perhimpunan tersebut.
Mulai kira-kira jam 2 petang, lima orang wanita dan empat lelaki ditahan dekat Stesen LRT Ampang Park dan dibawa ke ibupejabat Polis Kuala Lumpur (IPK) untuk disoalsiasat berhubung perhimpunan tersebut.
Mereka yang ditahan itu termasuk Ketua Wanita PAS, Aiman Athirah Al-Jundi dan Setiausaha Agung PSM Arutchelvan.
Arutchelvan, yang dibawa dengan kereta berasingan, adalah salah seorang daripada lima orang yang dinamakan dalam perintah mahkamah majistret yang melarang berada dalam lingkungan satu kilometer dari KLCC dan Masjid Al-Shakirin berhampiran.
Sebelum ditahan, seorang pegawai polis menunjukkan perintah mahkamah itu kepadanya dan mengarahkan beliau dibawa ke IPK untuk disoalsiasat.
Arutchelvan kemudiannya bertanya mengapa beliau dibawa ke balai polis sedangkan perintah mahkamah itu, menurutnya, bukan waran tangkap.
Beliau mengkritik kerajaan kerana bertindak terhadap aktivis politik dan sosial yang membantah kenaikan harga sedangkan ia sepatutnya menumpukan tenaganya untuk merangka dan tampil menemui rakyat dengan langkah-langkah konkrit untuk menangani inflasi.
Seperti juga Arutchelvan, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua juga ditunjukkan salinan perintah mahkamah itu sebelum ditahan.
Ketika dihubungi kemudiannya, Chua berkata tangkap itu tidak sah beberapa sebab, termasuk nama dan kad pengenalannya dalam perintah mahkamah itu, adalah salah.
“Satu perkara ialah tidak ada waran tangkap. Kedua, saya tidak langsung berada dalam kawasan larangan ke atas saya yang dinyatakan dalam perintah mahkamah itu," katanya kepada Malaysiakini.
Pada kira-kira waktu yang sama, sekurang-kurangnya 100 ahli dan penyokong PSM serta Jerit tiba dengan bas dan mula berarak dari Ampang Park menuju ke KLCC. Mereka dipimpin, antaranya, oleh pemimpin Jerit, Y Kohila dan ahli jawatankuasa pusat PSM, V Selvam.
Apa tiba di kawasan di depan Avenue K yang terletak mengadap Menara Kembar Petronas itu, mereka dihalang oleh benteng anggota polis yang menghalang mereka daripada meneruskan perarakan seterusnya.
Remaja dan wanita yang sudah berusia, adalah antara mereka yang menyertai perarakan, yang terlibat dalan pergelutan kecil dengan pihak polis. Para aktivis dan anggota polis yang ketuai Zulkarnain, menjerit antara satu sama lain supaya "jangan tolak".
Sewaktu berlakunya pergelutan tersebut seorang wanita mendakwa bahu kirinya sakit terkena pukulan ketika berasak-asak. Dia bagaimanapun, enggan dibawa oleh ambulans ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
'Bantu siasatan'
Zulkarnian mengarahkan para aktivis itu supaya duduk, tetapi ianya tidak diendahkan. Sebaliknya, mereka melintas jalan menuju ke Avenue K, dan ketika itu, Zulkarnain mengarahkan supaya mereka ditahan.
Antara penyokong dan pemimpin PSM yang ditahan termasuklah Selvan. Manakala beberapa aktivis yang lain kelihatan ditendang dan dipukul ketika mereka ditahan.
Kohila, ketika bersurai ke arah Ampang Park menjerit: “Kita tidak boleh berbuat apa-apa di negara ini. Malah, kita tidak boleh bercakap mengenai rasa tidak puashati kita! Kita tidak boleh berdiri (mempertahankan hak)".
Ketika ditemui kemudiannyam, Zulkarnain menafikan bahawa polis bertindak keterlaluan terhadap mereka yang menyertai perhimpunan tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, mereka diarah supaya duduk dan jangan meneruskan perarakan tersebut.
Bagaimanapun, kata Zulkarnian, mereka beritndak kasar, dan kerana itu pihak polis juga bertindak balik.
Beliau juga berkata, mereka yang ditahan hanya dibawa untuk 'membantu siasatan'.
Pada kira-kira jam 4 petang, sebahagian besar anggota polis dan peserta perhimpunan tersebut telah dari kawasan tersebut. Berita asal |
|
Berita Terkini dalam SMS
Maxis users
- Taip SMS "BUY MKINIM" dan hantar ke "26000" (caj bulanan RM 5.00)
- Taip "BUY WMKINIM" dan hantar ke "26000" (caj mingguan RM 1.50)
Umobile users
- Taip "ON NW MKINIBM" dan hantar ke "28118" (caj bulanan RM 5.00)
|
 |
| |
|
|
|