Calon Umno K'tan: 10 muka lama digugurkan

Sepuluh muka lama, termasuk tiga ketua Umno bahagian, telah digugurkan daripada senarai calon Umno kelantan bagi pilihanraya umum akan datang.

Tiga ketua Umno terbabit ialah Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas), Datuk Nik Mohd Zain Nik Omar dan Datuk Hashim Safin (Tanah Merah).

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, Umno negeri telahpun menghantar senarai nama calon kepada ibu pejabat Umno.

kelantan pas umno voters 140104Senarai tersebut, katanya, akan diserahkan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk dipertimbangkan.

Abdul Rahim yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu di Parlimen Pasir Mas, tewas kalah kepada calon PAS, Ismail Noh; Nik Zain pula kalah kepada calon PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Parlimen Pengkalan Chepa) manakala Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh digugurkan atas faktor usia.

Berikutan itu, Ketua Pemuda Umno negeri, Dali Hussein yang juga Ketua Pemuda Pengkalan Chepa, disenaraikan untuk bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa.

Calon wanita


Naib Ketua Umno bahagian itu, Rahim Mohd Zain dijangka menjadi calon Umno menentang Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di DUN Chempaka.

Timbalan Ketua bahagian Rantau Panjang, Abdullah Mat Yassin dijangka bertanding di kawasan Parlimen tersebut, manakala Ketua Pemuda Pasir Mas, Ahmad Rosdi Mahamad bertanding di Pasir Mas.

Perubahan juga berlaku di Parlimen Pasir Puteh di mana Adun Selising Amran Mohd Noor dijangka bertanding di kawasan Parlimen tersebut.

Ahli Parlimen sekarang, Datuk Che Min Ahmad dijangka bertanding di DUN Limbongan yang kini diwakili calon PAS, Drs Zainuddin Awang Hamat.

Pemangku Ketua Pemuda Bachok, Mohamad Sidek dijangka bertanding DUN Perupok dalam Parlimen Bachok.

Manakala calon wanita pula ialah Ketua Wanita Tanah Merah, Datin Suhainie Deraman untuk DUN Kemahang dan Ketua Wanita Machang, Datin Safiah Ali (DUN Temangan).

Pengundi di Kelantan

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa 736,005 orang layak mengundi di Kelantan dalam pilihanraya umum kali ini.

Pengarah Pilihanraya Negeri, Ab. Rahim Md. Salleh berkata, jumlah itu diperolehi hasil kemaskini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada 27 Disember lalu.

"Jumlah pengundi tertinggi yang didaftar adalah di kawasan Parlimen Tumpat iaitu seramai 79,091 pengundi diikuti kawasan Parlimen Kota Bharu seramai 66,118 pengundi," katanya.

Di kawasan Parlimen Bachok pula adalah seramai 63,730 pengundi, Pasir Puteh (62,853 pengundi), Pasir Mas (58,667 pengundi), Kubang Kerian (51,890 pengundi) dan Kuala Krai (51,527 pengundi).

Kawasan Parlimen Ketereh (50,614 pengundi), Pengkalan Chepa (50,012 pengundi), Machang (48,533 pengundi), Rantau Panjang (44,325 pengundi), Tanah Merah (43,840 pengundi), Jeli (35,936 pengundi) dan Gua Musang (28,613 pengundi).

Ab. Rahim berkata kelengkapan keperluan untuk menghadapi pilihanraya umum ke-12 telah disediakan termasuk 1,500 peti undi dan seramai 11,366 kakitangan SPR telah dilatih bagi mengendalikan pilihanraya.

Beliau berkata terdapat 518 tempat mengundi di negeri ini dengan 1,500 saluran mengundi.

"Daripada 518 tempat mengundi itu, 495 merupakan sekolah, sembilan dewan serbaguna, tiga dewan orang ramai, enam pejabat kerajaan dan lima tadika," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.