Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penubuhan kerajaan negeri Perlis tertangguh hingga ke hari ini kerana dipercayai wujudnya usaha untuk menghalang pelantikan semula Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai menteri besar.

Malaysiakini difahamkan, puak yang bertelagah dengan Shahidan berusaha untuk mendapat persetujuan pucuk pimpinan Umno pusat supaya melantik adinda Raja Perlis, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail, sebagai menteri besar yang baru.

Syed Razlan Syed Putera Jamalullail Dalam pilihanraya umum Sabtu lalu, Syed Razlan dipindahkan dari kerusi parlimen Arau untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh dan menang dengan majoriti 2,572 undi.

Ini bermakna pertelagahan dalam Umno Perlis antara puak Shahidan dengan puak ahli parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, yang juga setiausaha agung Umno, masih berterusan - dan kini masuk ke babak baru.

Dalam pilihanraya umum tersebut, Barisan Nasional (BN) pimpinan Shahidah, mencatatkan kemenangan besar, dengan memenangi ketiga-tiga kerusi parlimen - Kangar, Arau dan Padang Besar dan 14 daripada 15 kerusi DUN.

BN negeri hanya tewas di kerusi DUN Simpang Empat. Calonnya, Zahari Bakar tewas kepada calon PAS, Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi sahaja. BN bagaimanapun berjaya merampas kembali Sanglang yang dipegang PAS selama dua penggal.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno Perlis, Datuk Abu Bakar Ismail berkata, tidak harus wujud masalah seumpama itu kerana Shahidan telah menerajui Umno untuk menang besar dalam pilihanraya Sabtu lalu.

Ada campur tangan?

Beliau yang juga ketua penerangan Umno bahagian Arau berkata, sepatutnya tidak berlaku penangguhan penubuhan kerajaan negeri kerana masalah pemilihan menteri besar.

Ditanya sama ada penangguhan penubuhan kerajaan negeri itu berpunca di peringkat Umno pusat atau di peringkat istana, beliau berkata:

shahidan kassim "(Shahidan) adalah ketua parti yang diiktiraf pucuk pimpinan, dan menang besar dalam pilihanraya umum, proses (seterusnya) ialah dapatkan watikah pelantikan menteri besar dan ahli exco, mengadap Raja dan (diikuti dengan upacara) pelantikannya."

Di samping itu, tegas Abu Bakar berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi raja perlembagaan dan oleh itu tidak seharusnya timbul soal campurtangan pihak istana dalam penubuhan kerajaan negeri dan pelantikan menteri besar.

Oleh itu, katanya, jika proses penubuhan kerajaan negeri terus tertangguh, maka akan timbul pelbagai spekulasi, termasuk anggapan berlakunya campurtangan istana dalam soal tersebut.

Pertelagahan antara dua pemimpin Umno Perlis itu menyebabkan pindaan besar dilakukan terhadap senarai calon pilihanraya yang dikemukakan oleh Shahidan.

Pergolakan berterusan

Penyelesaian dicapai melalui 'formula Putrajaya' di mana pengagihan calon dibuat berasaskan nisbah lima penyokong Shahidan dan 10 orang Radzi bagi peringkat DUN.

azmi khalid 03 Shahidan, yang sebelumnya digugurkan dari senarai calon, dikekalkan bertanding di kerusi lamanya di Tambun Tulang. Radzi (kanan) dan Datuk Azmi Khalid (kiri) pula kekal di kerusi parlimen masing-masing di Kangar dan Padang Besar.

Walaupun persetujuan telah dicapai tetapi ia tetap mencetuskan rasa tidak puas hati dan bantahan di kalangan calon-calon awal yang terpaksa digugurkan.

radzi sheikh ahmad Susulan ketegangan yang berlarutan itu, ramai penyokong Shahidan termasuk beberapa anggota exco kerajaan negeri yang terpaksa digugurkan dan digantikan dengan orang Radzi (kanan).

Mereka yang digugurkan termasuk Azihani Datuk Ali (Sena), Datuk Bakar Ismail (Pauh), Bakar Saad (Kuala Perlis) dan Azam Rashid (Kayang).

Sementara Zahari Bakar (Simpang Empat) dan Khairy Hassan (Mata Ayer), yang merupakan bekas setiausaha politik Azmi, dikekalkan.

Dan Syed Razlan dipindahkan bertanding di DUN Pauh. Melalui perjanjian itu juga Shahidan akan dilantik menjadi menteri besar untuk tempoh dua tahun dan kemudiannya digantikan oleh Syed Razlan.

ADS