Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita Umno hilang dua menteri
Diterbitkan:  Mar 18, 2008 4:41 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

kemaskini 8:40pm Barisan anggota kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diumumkan hari ini menyaksikan hanya seorang wakil Wanita Umno dilantik sebagai menteri penuh, berbanding tiga orang sebelum ini.

Beliau adalah bekas ketua Puteri Umno, Datuk Azalina Othman yang dipindahkan daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada Kementerian Pelancongan.

rafidah aziz Sebelum ini, ketua Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz dan naib ketuanya Datuk Shahrizat Abdul Jalil menganggotai barisan kabinet.

Bagaimanapun, Abdullah tidak melantik kembali Rafidah, sebelumnya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Tempat Shahrizat, yang tewas dalam pilihanraya umum lalu, juga tidak diisi oleh wakil pergerakan tersebut.

Sebaliknya, Abdullah melantik ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rafidah digantikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipindahkan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pertama kali sejak sekian lama pucuk kepimpinan Wanita Umno tidak dilantik menganggotai kabinet.

Manakala ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad dilantik sebagai timbalan Menteri Sumber Manusia.

Sementara itu, kira-kira 50 ahli Wanita Umno berhimpun di kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya malam ini, dipercayai tidak berpuas hati dengan pengguguran Rafidah dan jumlah kecil wakil pergerakan itu dalam kabinet.

Malaysiakini difahamkan, mereka mula berhimpun kira-kira jam 8 malam dan dipercayai mahu menemui perdana menteri.

Bagaimanapun, mereka beredar 10 minit kemudian selepas tidak dapat menemui Abdullah.

shahrizat abdul jalil Sementara itu, dalam perkembangan mengejutkan petang tadi, bekas menteri pembangunan wanita, k eluarga dan masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dilantik sebagai penasihat khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri mengenai hal-ehwal pembangunan wanita dan sosial.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri hari ini, p elantikan Shahrizat - yang tewas kepada Nurul Izzah Anwar di parlimen Lemban Pantai dalam pilihanraya umum lalu - akan berkuatkuasa esok.
ADS