Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perisik BN siasat wakil lompat parti
Diterbitkan:  Mar 20, 2008 5:37 PM
Dikemaskini: 8:51 PM

Walaupun Perdana Menteri yakin wakil-wakil BN tidak akan melompat kepada parti-parti pembangkang, Umno bagaimanapun akan menyiasat kemungkinan wujudnya usaha berbuat demikian dalam kalangan pemimpin Umno.

tengku adnan mansor 041007 Setiausaha agung baru Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya akan menghantar ejen risikan untuk memastikan dakwaan bahawa kini wujud percubaan memujuk ahli-ahli parlimen meninggalkan BN.

"Wakil-wakil rakyat kita sedar bahawa BN dan Umno satu-satunya gabungan dan parti untuk mereka," katanya hari ini.

Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada parti pembangkang agar "jangan jadi bodoh" untuk menghasut wakil-wakil BN melompat parti, lapor laman web Star Online .

Tengku Adnan mengulas kenyataan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pihaknya menyambut baik wakil-wakil rakyat BN yang ingin berpindah parti.

abdullah ahmad badawi pak lah 110907 Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dilaporkan menyedari usaha memujuk wakil-wakil BN lompat parti dan yakin tiada sebab kerajaan pimpinannya tumbang kerana ia kuat dan mendapat sokongan rakyat.

Sementara agensi berita Bernama melaporkan BN akan mengirim pasukan risikannya ke Sabah dan Sarawak tidak lama lagi untuk meninjau percubaan wakil-wakil parti itu berpindah kepada pembangkang.

Memetik kenyataan Tengku Adnan, laporan itu menyebut BN memerlukan maklumat sahih untuk menilai perkembangan mutakhir.

"Maklumat yang diterima setakat ini ada yang sahih dan tidak sahih. Ada kata gini, ada kata gitu," beliau dipetik sebagai berkata.

Usaha menarik wakil BN kepada pembangkang muncul selepas parti itu gagal memperolehi majoriti dua pertiga, sementara parti-parti pembangkang pula hanya memerlukan 30 kerusi di Dewan Rakyat untuk memerintah dengan majoriti mudah.

BN mendapat 140 kerusi dan pembangkang 82 kerusi parlimen.

lim guan eng Mengulas isu yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, dan juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng hari ini meminta Perdana Menteri membuat laporan polis jika ada bukti parti pembangkang "membeli" wakil-wakil BN.

Lim berkata, ia harus dilaporkan kepada polis kerana "membeli" wakil rakyat satu kesalahan di sisi undang-undang dan dianggap rasuah.

"Kalau ada bukti, saya harap beliau boleh tunjukkan supaya tindakan boleh diambil," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri itu.

Lim menafikan DAP terlibat dalam kegiatan seumpama itu.

Beberapa hari lalu, Anwar menyatakan beliau kini sedang mengadakan rundingan dengan sejumlah wakil BN yang berhasrat berpindah parti.

"Mereka datang dan mendekati kita," kata Anwar.

anwar ibrahim Bekas timbalan perdana menteri itu menambah, beliau telah bercakap dengan "sejumlah" wakil rakyat BN dan memaklumkan bahawa sokongan mereka tidak akan diberikan ganjaran.

"Jika mereka mahu menukar parti dengan sejumlah harga, nampaknya mereka telah memilih parti yang salah," katanya.

Tambahnya, mereka dialu-alukan beralih parti "jika mereka menerima agenda kita".

Anwar mengesahkan beliau kini sedang mendapatkan dukungan ahli-ahli parlimen BN dari Malaysia timur, kumpulan sokongan besar yang boleh menumbangkan parti itu jika berlaku pertukaran parti.

ADS